Khamis, November 12, 2009
Nak Ikut Jalan Mana?
Khamis, November 05, 2009
Dr Asri v/s Ustaz Zamihan; Satu Penilaian...
Pertembungan antara Dr. Asri dan Ustaz Zamihan telah lama saya ikuti, sejak saya masih menuntut di bumi UIAM lagi. Masih tergambar di fikiran saya sebuah buku berjudul "Salafiyah Wahabiyah Satu Penilaian" karangan Ustaz Zamihan yang kemudiannya mendapat kritikan keras Dr Asri melalui akhbar arus perdana. Pada masa itu saya merasa agak kesal kerana satu isu sensitif berkaitan isu wahhabi, salafi, khalafi dan sebagainya diwarwarkan kepada awam melalui akhbar. Habis keliru mat-mat rempit dan geng-geng berkot-bertali leher merah yang mungkin tidak pernah belajar dalil-dalil berkaitan cara mandi wajib pun! Hakikatnya, ia adalah perbalahan ilmiyah yang dalam, rumit dan tidak wajar sama sekali disensasikan.
Saya hairan, mengapa dua individu ini tidak pernah bertemu janji, bersua muka dan berbincang pendapat masing-masing secara berdepan. Walaupun saya mungkin dianggap ustaz kurang ilmu kerana berkelulusan Perbandingan Agama, satu pengkhususan Ilmu Wahyu daripada UIAM, saya masih berkemampuan untuk memahami bahawa apa yang diperbalahkan itu sebenarnya tidaklah melibatkan perbezaan aqidah dan tidak pula membatalkan syahadah. Kedua-duanya masih muslim bahkan kedua-duanya berpendidikan tinggi pula. Perbezaan yang wujud adalah dalam menetapkan kaedah memahami keesaan Allah dan khilaf sama ada boleh takwil atau tidak boleh beberapa perkara melibatkan ayat-ayat yang kabur maknanya (Mutasyabihat). Selain itu, terdapat perselisihan perkara-perkara furu’ yang boleh didiamkan sahaja demi kemaslahatan ummah.
Hari ini, perbalahan itu timbul lagi setelah Dr Asri ditangkap oleh JAIS. Ustaz Zamihan menggunakan status rasminya sebagai Penolong Pengarah ILIM untuk menambahkan rencah penangkapan tersebut, yang hakikatnya mendapat kritikan ramai pihak. Perlu difahami, jawatan penolong pengarah dalam pentabiran kerajaan adalah pada gred 41, yang mana tentunya ada ketua berjawatan pengarah yang lebih berautoriti untuk memberikan komen. Adalah lebih selamat Ustaz Zamihan mendiamkan diri seketika, tidak gopoh memberikan ulasan walaupun mungkin beliau sedikit gembira dengan penangkapan Dr Asri. Sekarang tidak pasal-pasal beliau tertanggung sama palitan cacian dan cemuhan dari semua pihak termasuk semua pemimpin parti politik. Biarlah JAIS sahaja yang menjawab persoalan berkaitan penangkapan tersebut, sekurang-kurangnya mereka ada asas penangkapan walaupun boleh dipertikaikan.
Akhir kata, tuan-tuan berdua adalah orang berilmu, janganlah sekadar berdebat dari jauh, hadirlah bertemu muka dan berbincang, semoga wujud di sana manfaat yang lebih besar untuk Islam. Insya Allah.
Rabu, September 23, 2009
Kelahiran Yang Dinantikan – Rushdan; Sinar Ramadhan kami
Tanggal 12 September 2009 merupakan satu detik bersejarah dalam hidup penulis. Allah S.W.T. menaikkan lagi pangkat penulis daripada status seorang bayi (1979) – graduan tabika (1985) – graduan sekolah rendah (1992) – graduan sekolah menengah (1998) – graduan universiti (2004) – suami (2006) – dan akhirnya bapa (2009). AHMAD RUSHDAN BIN AHMAD ZULNASRI, hadiah paling berharga daripada Allah kepada kami suami isteri. Satu kenaikan pangkat yang tentunya diberikan ganjaran selain tanggungjawab yang semakin berat. Segenap kesyukuran penulis dan isteri panjatkan ke hadrat Ilahi atas kurnianNya, Alhamdulillah..
Kedudukan bayi sulung yang songsang menyebabkan kami bersetuju untuk pembedahan selaras dengan nasihat doktor bagi mengelakkan sebarang komplikasi. Pembedahan tersebut dijadualkan pada 15 September 2009 di hospital Kajang. Pada pagi 12 September 2009, penulis dan isteri berada di SMAPK jam 11.30 pagi kerana isteri ingin menyelesaikan beberapa urusan sebelum memasuki wad untuk bersalin caesarean. Tiba-tiba, isteri penulis terkejut melihat ada tompokan darah yang tidak pernah ada sebelum ini, dan kami terus bergegas cemas ke hospital Kajang.
Di hospital, isteri diperiksa oleh doktor yang bertugas sementara penulis mundar mandir di tempat menunggu. Selain penulis, dua orang lagi suami tiba menemankan isteri masing-masing untuk bersalin. Setelah hampir satu jam menunggu, penulis tidak dapat bersabar lagi dan terus masuk untuk mengetahui khabar isteri. Seorang doktor memaklumkan pembedahan akan dibuat pada hari itu juga dan penulis diminta menyelesaikan beberapa urusan berkaitan tempahan wad dan bayaran. Penulis berpeluang menemui isteri dan kami sama-sama berada di dalam keadaan berdebar-debar, tidak sabar tetapi takut, kerana ini merupakan satu detik yang amat dinantikan setelah tiga tahun mendirikan rumah tangga. Hanya doa yang mampu penulis iringkan kepada isteri memandangkan suami tidak dibenarkan berada di dewan bedah.
Pada pukul 3.40 petang, seorang jururawat keluar daripada dewan bedah, tersenyum sambil memandang penulis, ”awak Zulnasri?” ”Ya, saya..” Beliau menghulurkan kepada penulis seorang bayi yang amat putih bersih, dengan mata sedikit terbuka dan kelihatan amat comel. Tiada sebarang kata-kata yang mampu penulis ungkapkan selain syukur, dan syukur serta terima kasih kepada jururawat tersebut. Perasaan pada ketika itu agak sebak, tetapi penulis gagahkan jua untuk azankan bayi dan iqamat. Jururawat yang memerhati terus terseyum sebelum bertanya, ”Awak tak tengok dulu ke jantina budak tu?” Penulis sedikit kaget, dan terfikir ya tak ya pulak, kenapa tak tengok dulu, terus azan pula.. Biasalah, sebelum ini tak pernah tidak keruan macam ni. Bila dilihat, memang anak lelaki.. sebagaimana yang penulis rasakan sebelum ini. Alhamdulillah..
Penulis berpeluang bertemu dengan isteri pada pukul 6.00 petang. Setelah menyelesaikan beberapa urusan pakaian dan sebagainya, penulis terpaksa pulang ke rumah kerana masa melawat telah tamat. Esok hari, penulis bersama ibu mertua dan adik ipar menemani isteri bermula seawal 12.30 tengah hari sehinggalah waktu melawat tamat pada pukul 7.00 malam. Penulis agak kesal juga tidak dibenarkan menemani isteri sedangkan wad kelas 1 hanya seorang sahaja pesakit untuk satu bilik. Apa salahnya kalau suami ada bersama, paling tidak boleh sama-sama berkongsi cerita dan mengurangkan tekanan isteri yang terpaksa bersorangan menyesuaikan diri sebagai ibu baru. Mungkin kelahiran akan datang tidak lagi di hospital Kajang, tetapi sama ada hospital Putrajaya atau hospital swasta Islam, insya Allah. Isteri dibenarkan keluar wad pada hari ketiga apabila doktor mengesahkan ibu dan bayi sihat, dan kami pulang ke kampung isteri di Seremban, NS untuk berpantang.
Dugaan datang pada hari ketiga dan keempat apabila isteri mengalami masalah kekurangan susu sehingga menyebabkan bayi enggan menyusu dan banyak menangis. Ketika malam ketiga, Rushdan meraung-raung kerana lapar tetapi enggan menyusu kerana susu tidak keluar. Walaupun dipam, jumlahnya amat sedikit dan tidak berpadanan. kami agak tertekan memikirkan kemungkinan Rushdan sakit kerana kekurangan air dan susu. Pada masa itu, tiada susu formula di rumah, hari sudah lewat malam dan kami agak penat kekurangan tidur. Akhirnya, penulis mendapat idea untuk memberikan Rushdan air zam-zam yang kebetulan ada di rumah. Kerisauan tetap ada kerana bimbang sakit perut atau muntah, tetapi alhamdulillah, tidak ada apa-apa, sekurang-kurangnya hilang dahaga Rushdan walaupun masih memerlukan zat susu yang lain.
Esoknya penulis membelikan susu formula sebagai backup, tetapi nampaknya selera Rushdan terhadap susu tersebut mengatasi keinginannya untuk menyusu badan. Setelah tiga hari menggunakan susu tersebut, akhirnya penulis dan isteri mengambil keputusan memaksa Rushdan untuk menyusu badan dan tidak akan sama sekali memberikan susu formula lagi, sekurang-kurangnya dalam dua-tiga bulan ini. Langkah ini terpaksa diambil kerana bimbang susu badan isteri akan berkurangan apabila demand daripada bayi tidak ada. Lagipun, zat daripada susu ibu tidak mungkin dapat diganti oleh mana-mana susu formula di dalam dunia ini. Keputusan ini menimbulkan tentangan hebat daripada budak kecil yang nakal ini, macam memahami apa yang ibubapanya cuba buat. Rushdan kelihatan menimbulkan tekanan terhadap ibunya dengan menyusu sekerap 5-15 minit sekali, mungkin dengan harapan ibu akan mengalah dan kembali memberikannya susu botol yang diidam-idamkan..Alhamdulillah, isteri dengan sokongan penulis menguatkan semangat dan melayani karenahnya dengan sabar. Lama-kelamaan, ingatannya terhadap susu botol yang dahulunya amat disukai mula pudar, dan ketika ini, Rushdan semakin selesa menyusu dengan ibunya secara normal, dalam 1-2 jam sekali. Tempoh penyusuan juga semakin lama semakin stabil kepada 15-20 minit berbanding 3-5 minit pada awal-awal penyusuan dahulu.
Sekarang ini penulis terpaksa masuk kerja semula, tetapi Alhamdulillah, beberapa perkara seperti penyusuan, pemantauan klinik, tali pusat bayi dan pemakanan ibu telah di stabilkan. Setelah berfikir, penulis dapat mengambil beberapa iktibar seperti berikut:
1. Pastikan hospital yang dipilih membenarkan suami/penjaga untuk menemani isteri semasa dalam wad (kelas 1)
2. Pastikan isteri tidak berada di dalam tekanan atau berseorangan
3. Pastikan bayi menyusu badan sahaja, walaupun kerap atau dia tak mahu, tidak apa. Paksa dia dan jangan beralah, kadang-kadang budak ni macam pandai juga, nak susu yang sedap dan berperisa..
4. Tingkatkan amal ibadat (suami) dan mohon pertolongan daripada Allah untuk memudahkan urusan berkaitan kelahiran dan penjagaan selepas bersalin.
Rabbana Hab Lana Min Azwajina Wa Zurriyyatina Qurrata A'yun, Waj'alna lilmutaqina imama..
Wallahua’lam
Jumaat, September 11, 2009
Toleransi beragama – Isu Penentangan Pengalihan Rumah Ibadat; Ruang Dakwah yang Disempitkan
“Dan serulah (manusia) ke Jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan, dan pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka secara paling baik”
Surah An-Nahl – ayat 125
Dakwah merupakan kewajipan orang Islam. Tujuan utama dakwah adalah untuk melembutkan hati golongan non-muslim untuk mendekati dan menghayati ajaran Islam. Tetapi untuk menjadikan mereka muslim bukanlah tujuan utama, kerana kita yakin dan percaya hidayah itu hak mutlak Allah, dan kita sebagai hambaNya hanya melaksanakan suruhannya iaitu mengajak kepada kebaikan, dan mencegah daripada kemungkaran. Berapa ramai non-muslim yang mengetahui konsep dan ajaran Islam secara akademik dan berfakta seperti para professor pengajian orientalism di universiti-universiti barat, tetapi minda mereka menolak hakikat dan cuba mencari jarum-jarum kelemahan, semata-mata untuk menunjukkan Islam sebagai salah satu agama di samping agama-agama lain. Sekiranya ada non-muslim memeluk Islam kerana dakwah kita, itu adalah ketentuan dan hidayah daripada Allah semata-mata, manakala usaha kita akan diberkati dan diberikan pahala kerana melaksanakan dakwah,dan bukannya penyebab utama kepada keislaman mereka.
Apabila timbulnya isu penduduk di kawasan majoriti Islam yang menentang pembinaan rumah ibadat golongan bukan Islam, penulis cuba merungkai isu ini dari kacamata dakwah, bukannya politik.
Apa yang penulisSelasa, Mei 26, 2009
Dakwah : Ke mana hala tuju 'ustaz' ?
Kisah seorang ustaz ‘Rock’ yang diminati sejak dahulu sehingga sekarang amat meresahkan hati para peminat-peminatnya yang cuba mempertahankan imej keislaman beliau. Pengedaran gambar beliau di internet bersama-sama seorang rakan artis lain dan individu-invdividu yang tidak berpakaian sopan tambah mengharu birukan keadaan. Agak malang buat ustaz ini, yang telah mendedahkan diri beliau kepada fitnah atas nama dakwah mengikut kefahamannya sendiri. bahkan respon daripada beliau yang lebih ‘tidak mejawab persoalan’ tetapi cuba ‘menyerahkan kebenarannya kepada Allah’ merupakan satu respon yang dikhuatiri tidak jujur dan lebih bertujuan mengharapkan orang ramai akan mendiamkan diri.
Dakwah merupakan kewajipan umat Islam, tetapi setiap jalan dakwah ada hadnya. Sama seperti makan, minum, berpakaian, semua ada hadnya yang ditetapkan oleh Allah. Makan perlu berpada, tidak terlalu kenyang sehingga memudaratkan. Berpakaian biarlah berpada dan menutup aurat, tidak terlalu tebal sehingga kepanasan, dan tidak terlalu nipis seperti tidak berpakaian. Bagi muslim yang memutuskan untuk berdakwah melalui industri hiburan, mereka perlu lebih berhati-hati dan menjaga diri untuk mengelakkan fitnah. Amat menyedihkan, kebanyakan pendakwah hiburan ternyata hanyut dengan arus glamour dan khayalan, wanita cantik dan pergaulan bebas, yang akhirnya menjejaskan imej mereka sendiri. Sedangkan Allah telah berfirman : ‘Janganlah engkau mencampakkan dirimu ke arah kebinasaan’, Al Baqarah: 195.
Pendakwah hiburan yang terlalai ini seolah dengan sengaja mencampakkan diri mereka ke arah kebinasaan; membinasakan imej mereka, jatidiri dan keluarga mereka jua. Kita tidak mengadili persoalan rumah tangga mereka, tetapi jauh dilubuk hati, kita tetap akan mengadili tanpa sedar, dan tidak daapt menahan diri kita daripada menimbulkan perasaan berpihak kepsda mana-mana inidivdu yang terlibat apabila ia disensasikan.
Pada kefahaman penulis, semua bidang ada jalan dakwah masing-masing, dan semua muslim yang berjaya membawa kebaikan pada bidang yang dia ceburi adalah orang yang berjaya dalam dakwahnya. (dakwah bil hal).
(i) Seorang guru adalah pendakwah, dan kejayaannya dinilai pada anak-anak muridnya yang berjaya dalam akademik serta akhlaq.
(ii) Seorang posmen adalah pendakwah, dan kejayaan dakwahnya adalah penyerlahan amanah dirinya yang menyampaikan surat-surat yang dihantar tepat kepada penerima pada masa yang sesuai.
(iii) Seorang penjual kuoey teow adalah pendakwah yang berjaya apabila berniaga dengan jujur dan menjual makanan yang bersih lagi halal sahaja kepada pelanggannya.
(iv) Seorang pegawai adalah pendakwah yang berjaya apabila mengelakkan semua rasuah dan salahguna kuasa sedangkan ia mampu melakukannya.
(v) Seorang ahli politik adalah pendakwah yang berjaya apabila menampilkan imej yang jujur, tawadhuk dan menjadikan dirinya sebagai contoh dalam amar maaruf nahyu munkar.
Ahad, Mei 24, 2009
Hancurlah LTTE !! hancur! Hancur!
Peristiwa pembunuhan seramai 147 jemaah sebuah masjid di Batticaloa pada Ogos 1990 dan genosid terhadap beratus-ratus orang awam Islam enam hari kemudian merupakan bukti jelas kebencian puak LTTE terhadap orang Islam. Untuk lebih lanjut, boleh rujuk wikipedia atas tajuk LTTE.
Apa alasan mereka? Orang Islam menyokong Kerajaan Sri Lanka? Perlukah mereka dibunuh ketika sedang beribadah? Sungguh saya merasa terharu bercampur benci dengan keberadaan puak-puak penyokong LTTE di Batu Caves, seolah-olah mereka ini warga LTTE dan bukannya warga Malaysia. Adakah mereka ini buta tuli, mata hati dan tidak sedar mereka berada di mana? Ini MALAYSIA, sebuah negara Islam, mempunyai hubungan diplomatik dengan negara India dan Sri Lanka. Kalau mereka ingin keluar daripada negara ini, SILAKAN. Lucutkan kewarganegaraan dan sila keluar. Kita tidak rugi satu sen pun dengan kepergian mereka. Apatah lagi dengan kesetiaan yang masih boleh dipersoalkan. Dan sekiranya Hindraf menyokong LTTE, saya berharap mana-mana parti politik yang masih bersimpati dengan pertubuhan ini agar menilai semula pendirian mereka.
Kadang-kadang kita merasa tidak adil, kenapa di dalam undang-undang jihad, muslim tidak dibenarkan membunuh orang awam, merosakkan harta benda dan tanaman? sedangkan golongan non-muslim bebas membunuh, menghancurkan dan merosakkan. Akhirnya, orang Islam dilihat terlalu berlembut dengan musuh, sedang musuh sedaya upaya menghancurkan mereka. Tidak mengapa, kerana kita ada Allah, dan kita percaya hari pembalasan, yang mana golongan zalim ini akan menerima pembalasan yang setimpal atas kejahatan mereka, sedangkan kita akan dirahmati dan dimasukkan ke syurga. Amin.
Khamis, April 30, 2009
Aqidah Islam; Siapakan yang betul betul 'benar'?
“Kamu totok mazhab! Sempit!”
“Aqidah kamu bercelaru, ilmu kalam dah menyesatkan kamu!”
“Kamu salah! Masuk neraka!”
“Tak ikut kami kamu sesat dan jahil!”
“Ini bukti kamu sesat…Syeikh ini kata ini..ini..”
Kadang-kadang saya merasa hairan, apabila menelusuri laman-laman sesawang di alam siber, terlalu ramai orang sedang ‘berdebat’ di dalamnya (tanpa berhadapan) dengan keberanian yang amat luar biasa. Menggunakan kata-kata yang keras, mengancam dan penuh yakin. hujjah-hujjah yang digemburkan penuh dengan kekuatan yang seolah-olah maksum daripada kesilapan. Manakala lawannya pula menangkis dengan penuh perkasa, berhujjah seolah-olah Al-Quran dan Hadith ada di dalam minda, tiada yang salah melainkan benar belaka. Mengancam dan menuduh seolah-olah lawan masing-masing bukannya Islam, tetapi seorang manusia yang sedang sesat di dalam kekafiran. Menggunakan nama-nama samaran yang hebat, seolah-olah diri seorang pejuang Islam yang berani dan megah mempertahankan Agama Allah yang suci. Satu blog menyatakan hitam, manakala satu lagi bermati-matian mengatakan putih. Disana seolah-olah tiada jalan pertemuan, mahupun simpang yang kecil yang boleh menemukan keduanya bagi mencari secebis persamaan, disebalik ‘gergasi’ perbezaan yang nyata.
Anehnya kebanyakan yang diperdebatkan melibatkan aqidah, seolah-olah begitu mudah aqidah Islam ini terlucut daripada jiwa pemakainya. Hanya dengan tidak membenarkan satu pihak, otomatik menjadi non muslim. Manakala sebelah pihak lagi menjadi bukan Islam pada pandangan pihak lawannya. Akhirnya, kedua-dua pihak bukan lagi Islam, menjadikan jumlah manusia yang diiktiraf sebagai muslim semakin berkurangan hari demi hari; ditakfirkan di dalam internet semudah menekan kekunci ‘num lock’ atau mencabut plug elektrik komputer…Kadang-kadang saya rimas, dan membayangkan kalaulah saya tidak belajar agama dahulu, mungkin saya akan menjadi kurang siuman memikirkan yang diri ini sudah sesat, terkeluar daripada Islam, walau ke manapun saya berpihak! Itu belum masuk bab politik, fiqh, muamalat..
Adakah tiada titik pertemuan? Ataupun setitik persamaan? Memang mudah dan selesa berkata-kata di dalam blog, tiada orang yang boleh menghalang, dan sebarang komen boleh didelete. Tetapi apabila ia melibatkan agama Allah, bertanggungjawab dan berhati-hatilah. Janganlah kita terlalu berani berfatwa dan akhirnya mengkafirkan saudara-saudara seislam yang lain.
Rukun Iman : percaya kepada Allah, malaikat, kitab, rasul, hari qiamat, qadha dan qadar.
Rukun Islam: Mengucap dua kalimat syahadah, solat lima waktu, berpuasa di Ramadhan, menunaikan zakat, menunaikan fardhu haji.
Apapun perbezaannya, janganlah kedua-dua rukun ini kita berbeza. Insya Allah.
Wallahua’lam….
Isnin, April 27, 2009
Ya Allah, Selamatkan kami...
Doa tersebut adalah bacaan kita untuk satu perjalanan dengan sebuah kenderaan, yang kita harapkan daripadanya keselamatan, keberkatan dan perlindungan sepanjang perjalanan. Selama penulis berkelana di jalanan dengan sebuah Proton Saga yang dibeli pada Jun 2005, tidak terkira berapa banyak kali doa tersebut dibaca. Apa yang pasti, ianya telah menjadi satu tabiat, sebaik sahaja membuka pintu, Bismillah pasti terbisik dengan automatik, manakala doa di atas akan diungkapkan setelah penulis menutup pintu kereta dengan harapan mendapat keselamatan daripada bencana dan kemalangan.
Tetapi, pada Mac 2009, penulis ditimpa juga kemalangan. Tidak teruk, dan tiada kecederaan, tetapi kereta terpaksa masuk bengkel selama satu bulan. Sesetengah sahabat berkata yakin, “kau mesti tak baca doa ni, kalau tak mesti tak eksiden”, Penulis agak terdiam, dan berfikir, tak mungkin doa tidak dibaca. Minda sudah disetkan secara automatik untuk baca doa apabila masuk kereta..
Adakah doa semestinya menyelamatkan kita daripada semua bencana?
Adakah orang yang tidak membaca doa akan ditimpa bencana?
Apakah fungsi doa itu sebenarnya?
Kepada sahabat yang tadi, penulis cuma berkata; “Alhamdulillah, aku baca doa. kalau aku tak baca tadi, mesti teruk punya eksiden, tah tah aku koma sebulan”
Jawapan tadi adalah atas kesedaran penulis, bahawa doa tidak semestinya melindungi kita daripada semua kesusahan, kerana Allah lebih mengetahui hikmah disebalik kesusahan yang menimpa. Mungkin ianya adalah ujian, dan ujian yang dihadapi dengan kemalangan kecil seperti yang menimpa penulis adalah satu rahmat, kerana mungkin penulis tidak mampu menghadapi dugaan yang lebih besar. Mungkin Allah menukarkan taqdir yang awal (bencana besar) kepada satu taqdir yang lain (bencana kecil) atas faktor doa, dan kita tidak tahu..kerana dalam pengajian aqidah, percaya kepada qadha dan qadar adalah satu rukun iman. dan qadha itu terbahagi dua; Qadha mubram (ketentuan yang tidak berubah seperti mati dan lahir) dan qadha mu’allaq (satu ketentuan yang boleh berubah dengan izin Allah).
Kita teruskan sahaja berdoa untuk apa saja. Insya Allah selamat dunia dan akhirat. Wallahua’lam.
Khamis, April 23, 2009
Berblog; Jangan blok minda anda!
1. Pengarang blog tidak pernah memaksa sesiapa untuk membaca blog mereka. Sekiranya rasa suka, teruskan membaca, sekiranya rasa meluat, sasarkan cursor kepada bahagian atas sebelah kanan, dan klik pada kotak pangkah. Tak perlu membebel dan merepek, nanti jatuh mengumpat, kan sia-sia pahala awak;
2. Seorang muslim digalakkan menyebarkan kebaikan terutamanya yang ada pada dirinya untuk dicontohi oleh orang lain. Contohnya, seseorang yang bersedekah, sekiranya dia menunjukkan sedekahnya pada orang lain, dan dicontohi pula, maka dapatlah pahala berganda. Begitu juga menonjolkan usaha diri sendiri untuk membolehkan orang lain mencontohi (seperti yang dipostkan oleh Ustaz Zaharuddin di blognya), dan menunjukkan skill yang kita ada untuk diajar kepada orang lain. Apapun, ia bergantung pada niat sebenar, dan niat bukanlah hak kita untuk mempersoalkannya;
3. Dalam Islam, tiada unsur generalization terhadap hukum sesuatu perkara. Segalanya perlu diperincikan supaya hukum yang diputuskan adalah khusus terhadap perkara tersebut. Contohnya, hukum haram menyanyi, adakah semua nyanyian haram? nasyid juga adalah satu unsur nyanyian, adakah ia haram? Memang ada individu yang mengharamkannya, tetapi biarlah ia jadi hukum peribadi beliau, bukannya hukum rasmi Islam. Jadi, janganlah menghukum secara total semua blog berunsur aktiviti peribadi adalah salah. yang penting, jangan berbogel dalam blog, jangan posting lucah dan jangan mengumpat/memfitnah.
Setelah perbahasan panjang lebar, nampaknya teman tersebut bersetuju. atas faktor gaya bahasa yang digunakan penulis tidaklah ganas, lemah lembut dan tidak emosional, maka ia membuka ruang kepada perbincangan yang harmoni. Alhamdulillah, walaupun tiada dalil-dalil hebat yang digunapakai, hanya hadis (Sesungguhnya segala amal itu bermula dengan niat..), kami berjaya mencapai satu kesimpulan; berbloglah wahai orang-orang Islam yang mampu, sesungguhnya jalan dakwah dan kebaikan itu ada pelbagai, dan blog adalah salah satu jalan dakwah paling mudah. Sebarkan kebaikan dan keharmonian, dan janganlah kita hanya memberikan ruang kepada para pendosa dan pelucah menguasai medan blog.
Wallahua’lam.
Selasa, Mac 03, 2009
Isu penggunaan kalimat ‘Allah’ untuk penganut agama selain Islam
Dalam konteks agama, sebenarnya penggunaan kalimat ini adalah amat meluas dan kompleks. Masyarakat yang berbahasa arab tidak kira apa agama, terutamanya penganut kristian arab atau yahudi arab sebenarnya telah menggunakan kalimah ini lama sebelum kemunculan Islam. Dalam bahasa ibrani pula, sesekali ia dirujuk sebagai Ilohim atau Yahweh. Asas hurufnya tetap sama, iaitu huruh alif, lam dan ha. Kalimah Ilah, yang diucapkan oleh masyarakat arab merupakan asas kalimat Allah, manakala kalimat Allah pula telah menjadi satu katanama yang khusus merujuk kepada Tuhan Yang Maha Kuasa. Sebahagian sarjana menterjemahkan kalimah Allah sebagai God atau Tuhan manakala sesetengah yang lain mengekalkan kalimat tersebut untuk merujuk kepada Tuhan dalam penterjemahan mereka.
Apabila Nabi Muhammad S.A.W. diutuskan, perkataan yang sama masih digunakan oleh masyakat jahiliyah bersekali dengan penganut Islam, bahkan persamaan ini dijadikan sebagai asas dakwah tauhid Islam kepada masyarakat jahiliyah. Al-Qur’an banyak menerangkan mengenai persamaan ini, dan penulis kekurangan masa menukilkan satu persatu, memadailah dengan kesimpulan bahawa Rasulullah S.A.W. sememangnya mengetahui dan mengiktiraf penggunaan kalimah Allah untuk menggambarkan Tuhan, walau digunakan oleh penganut agama Kristian atau yahudi.
Itu adalah secara umum, tetapi bila melihat kepada permasalahan di Malaysia, kita perlu mengkaji lebih dalam berkenaan perkataan ini dalam konteks kebudayaan dan warisan. Di Malaysia, penggunaan nama Allah telah dikhususkan oleh orang melayu merujuk kepada Tuhan sekalian Alam semenjak Islam mula berkembang. Bahkan pada masa ini, kebanyakan masyarakat cina di Malaysia juga menyebut ‘Tuhan Alah’ sekiranya ingin merujuk kepada tuhan masyarakat melayu. Oleh itu, perbahasan mengenai isu ini tidak wajar menjadi perbahasan akidah dan agama, sedangkan isu sebenarnya adalah berkaitan budaya dan warisan turun temurun. Apabila merujuk kepada isu sebenar, ianya adalah berkenaan percetakan perkataan Allah di dalam penerbitan agama Kristian untuk menggambarkan ‘tuhan’ atau ‘salah satu yang utama daripada tiga’. Isu ini lebih bersifat teknikal dan Kerajaan mempunyai autoriti sama ada untuk membenarkan atau mengharamkan berlandaskan bidang kuasa sedia ada.
Pada hemat penulis, situasi semasa masyarakat Islam dalam perkara akidah sebenarnya masih belum kukuh, ditambah lagi dengan kekeliruan pengajian tauhid yang lebih kepada untuk menjawab peperiksaan dan bukannya atas dasar kesedaran. Pelajar lebih ditekankan untuk menghafal secara burung kakak tua berkenaan Allah itu wujud, ada mustahil tiada, Qidam, sedia mustahil baharu dan seterusnya tanpa mengetahui intipati sebenar apa yang dihafal. Sekiranya guru yang mengajar tidak bersedia untuk menerangkan secara terperinci berkenaan ajaran Tauhid Sifat 20, adalah lebih selamat sekiranya ia tidak diajarkan kepada orang awam. Tujuan sebenar ajaran ini diperkenalkan oleh Abul Hasan Al-Asyari adalah sebagai menepis ilmu kalam sesat yang amat banyak pada masa beliau, dan segala perbahasan sifat-sifat tersebut ada dalil-dalilnya yang memerlukan komitmen guru untuk menerangkannya. Ia lebih bersifat pengukuh berbanding asas, yang mana asas sebenar ada terkandung di dalam kalimah La Ilaha Illallah itu sendiri, iaitu pengajaran Tauhid secara rububiyyah, uluhiyyah dan asma wassifat. Ianya ringkas dan mudah. Sekiranya asas tidak ada, bagaimana hendak mengukuhkan?
Oleh itu, memang wajar Kerajaan tidak membenarkan pada masa ini penggunaan nama Allah dalam penerbitan ajaran agama lain. Masyarakat pada masa ini agak rosak, dengan asas akidah yang kucar kacir dan sukar untuk berdepan hujah dengan pendakwah kristian yang bersedia, walaupun hakikatnya kehujahan mereka semata-mata untuk menutup kelemahan oknum satu tetapi tiga yang sukar diterima akal.
Ahad, Januari 04, 2009
Kasihan Palestin…
Kita tiada kekuatan untuk berhadapan dengan musuh-musuh mereka,
Kita tiada alatan untuk memberikan kata-kata sokongan dan semangat,
Yang mampu didengari oleh para pejuang mereka di sana,
Hanya yang ada kesedihan,
Keremukan hati mendengar dan melihat penderitaan mereka,
Diratah kejam tidak berperikemanusiaan oleh syaitan-syaitan manusia,
Daripada golongan Yahudi dan Nasara,
Yang melupai perjanjian mereka dengan Yang maha Esa,
Untuk damai sesama manusia,
Setelah dipukau bongkak diri dan kemegahan palsu,
Ketamakan menelan inci bumi yang asalnya sejahtera,
Dipengaruhi bangga diri kamilah keturunan nabi,
Dan rasukan helaian kitab yang ditulis kembali tangan-tangan durjana,
Para pendusta zionis dan misionaris sesat,
Yang berkepentingan duniawi melupai ukhrawi.
Semoga Allah menunjukkan kebenaran,
Setelah dunia berada diputaran roda kejatuhan Islam,
Gemilang lamanya berabad,
Surut bagaikan ombak setelah menghempas pantai,
Insya Allah akan datangnya kembali,
Seri Nur Ilahi melimpahi bumi,
Dengan pemimpin-pemimpin bertaqwa,
Beriman dengan kebenaran Agama yang Suci,
Menghancurkan kepalsuan dan kebatilan,
Dengan kekuatan yang dijanjikan.
Ya Allah, Sesungguhnya kami serahkan segala leher musuh kami daripada golongan zionis dan sekutu-sekutu mereka kepada Engkau, dan kami berlindung dengan Engkau daripada kejahatan mereka.
Ya Allah, balikkanlah kembali tipudaya mereka kepada mereka, hancurkanlah kesatuan mereka, pecah belahkanlah kumpulan mereka, jadikanlah mereka berbalah-balahan sesama mereka dan goncangkanlah pendirian mereka.
Ya Allah, Hantarkanlah anjing-anjing Engkau kepada mereka. Wahai Tuhan yang Maha Gagah, Wahai Tuhan yang Maha Perkasa, Wahai Tuhan yang Memiliki Ketinggian dan Kemulian.
Ya Allah, Tuhan yang Menurunkan Kitab (Al-Qur’an), Ya Allah, Tuhan yang Menggerakkkan Awan, Ya Allah, Wahai Tuhan yang Menghancurkan tentera tentera bersekutu (Yahudi Zionis, Amerika dan negara-negara yang bersekutu dengan mereka), hancurkanlah mereka dan bantulah kami mengalahkan mereka…
Amin…Ya Rabbal ‘Alamin
Rabu, Disember 17, 2008
Antara durian runtuh dan tanah runtuh
Gua Musang? Lereng Bukit? Tanah Tinggi? Pembangunan? Fikir dahulu…
Ada seorang individu pernah bekerja sebagai Pembantu Pelanggan di Stesen Minyak Shell Jalan Ampang, MRR2, sekitar sepuluh-dua puluh meter sahaja daripada susur masuk ke Bukit Antarabangsa. Beliau pernah – pada masa lapang – menunggang motor Honda C70nya memanjat Bukit berkenaan, memang tinggi, sejuk dan curam. Terpaksa guna gear dua kadang-kadang gear satu. Melihat keadaan rumah-rumah banglo dan perumahan elit di kawasan berkenaan, beliau merasa agak segan sekiranya terserempak dengan penduduk atau warga Bukit Antarabangsa. Mesti wujud syak wasangka yang beliau nak mencuri ke, nak melihat-lihat rumah kosong ke untuk pecah masuk. Terus beliau corner baring semula turun ke bawah menuju ke tempat golongan marhaen – asrama untuk pekerja Shell Jalan Ampang. Jalannya yang curam, adalah kurang sesuai kepada pemilik-pemilik kenderaan seperti motosikal berkuasa rendah, Kancil dan Proton Saga untuk berulang-alik. Lainlah kalau kereta Honda Civic, Mercedes Benz dan Toyota Fortuner. Melihatkan kereta saja, dah tentu sepintas lalu sahaja kita dah dapat mengenalpasti status pemilik rumah di kawasan ini.
Sememangnya rumah banglo di atas bukit melambangkan status, gaya dan kemegahan, dengan hillview yang indah dan menawan, udaranya yang segar dan ketenangan yang merehatkan minda. Sesuai untuk individu-individu korporat berusia lewat lima puluhan yang bercadang untuk bersara dan berehat di hari tua. Bayangkan kehidupan ini: Pagi-pagi selepas subuh (kalau sembahyang), terus berjogging santai di laluan-laluan pejalan kaki yang dingin, kemudiannya pulang kerumah untuk berehat, sarapan pagi dan ber chit chat suami isteri mengenangkan cerita suka duka lampau. Kemudiannya membaca akhbar di ruang beranda dengan angin sepoi-sepoi bahasa, akhirnya terlena di atas kerusi malas. Bangun tidur, makan tengah hari, menonton televisyen, bergelak ketawa dengan lelucon The Nanny, atau Mr. Bean. Petangnya berjalan-jalan di taman atau berkebun di belakang rumah, menanam bunga-bungaan sambil mengeluarkan peluh untuk kesihatan. Malamnya makan malam, menonton berita, berborak-borak dan… tidur. Alangkah tenangnya hidup di dunia tinggi. Wang tiada masalah, anak-anak semua berjaya kaya raya.
Itu cerita dahulu. Rasanya mentaliti masyarakat berduit sudah mula berubah. Sekarang rumah di cerun bukit, di kawasan tinggi dilihat menakutkan, mengancam nyawa dalam jangka masa panjang dan tidak berbaloi untuk sebuah rumah berharga jutaan ringgit yang sepuluh – dua puluh tahun kemudiannya runtuh menyembah bumi tanpa sebarang perlindungan insurans. Apatah lagi ia melibatkan ancaman nyawa terhadap orang tersayang, seperti yang berlaku di Bukit Antarabangsa seminggu dua ini. Sehingga hari ini pun, situasi masih tidak stabil, dengan tanah masih runtuh, dan hujan yang turun kelihatan membantu proses ini. Kita melihat di kaca televisyen, penduduk-penduduk yang mengalami bencana tersebut amat tertekan dan antaranya sudah hilang sabar, menjerit dan memaki wakil rakyat, membuat laporan polis, mengemukakan saman terhadap PBT dan sebagainya.
Hakikatnya mereka sedang diuji. Dahulunya dengan kesenangan, sekarang dengan kesusahan.
Mungkin kita boleh muhasabah diri, apakah semasa kita diuji dengan kesenangan dahulu, kita ingatkan Tuhan yang telah mengurniakan kesenangan itu? Dan sekarang ini, dengan kesusahan pula, adalah terlintas di hati kita bahawa ini ujian Tuhan? Sukar untuk kita bayangkan kesusahan yang akan tiba apabila selama bertahun-tahun diliputi dengan kesenangan dan kemewahan. Mungkin tidak pernah terlintas di hati kecil pun bahawa Allah akan mengambil balik apa yang diberi olehNya – dalam tempoh tidak sampai setengah jam..
“Kepunyaan Allah segala apa yang ada di langit dan di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati atau kamu sembunyikannya, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendakiNya dan menyiksa siapa yang dikehendakiNya. Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
(Surah Al-Baqarah Ayat 284)
Moral:
Rabu, Disember 10, 2008
Teknologi dan Jenama: Keperluan atau kehendak?
Teknologi
Minat yang mendalam terhadap teknologi boleh menjadikan seseorang itu selangkah ke hadapan berbanding orang lain. Dikala orang lain masih menghantar SMS teks, beliau boleh berbangga dengan MMS yang disertakan gambar, video dan suara sekali. Dikala orang menyambung streamyx/ terpaksa ke Cyber Cafe untuk membuka email, beliau boleh membuka yahoo mail nya daripada handphone sahaja. Mudah bukan!
Sesetengah orang berpendapat, apa perlunya semua teknologi ini? Kenapa perlu membazir sedangkan apa yang penting hasrat berkomunikasi tercapai. Belilah teknologi sekadar keperluan sahaja, sekiranya tiada keperluan, maka biarkanlah. Tertinggal atau ketinggalan zaman tak apa, datuk nenek zaman dahulu pun boleh hidup tanpa telefon, elektrik dan air paip. Saya mempunyai pendapat yang kontras. Memang dipersetujui, teknologi bukanlah keperluan dalam hidup, tetapi ia merupakan alat untuk membolehkan kita hidup dengan lebih berkualiti dan meminimumkan perkara-perkara leceh. Sebagai contoh, Mesin basuh automatik lebih mudah dan menjimatkan masa berbanding mesin basuh separa auto, yang tentunya lebih menjimatkan masa dan tenaga berbanding membasuh menggunakan tangan. Vacuum Cleaner pula boleh meminimumkan habuk yang berterbangan berbanding penyapu sekaligus merupakan alat yang berkualiti bagi pesakit asma. Begitu juga dengan telefon bimbit. Tentunya dengan fungsi yang lebih meluas, saya dapat berkomunikasi dengan lebih berkualiti berbanding menggunakan telefon biasa. Bahkan dengan sistem storan yang luas, saya dapat menyimpan apa-apa data atau maklumat yang penting di dalam telefon untuk digunakan kelak. Cuma perlulah rajin belajar dan kreatif bagi mengelakkan membeli barang mahal sia-sia sahaja – tak pandai nak guna..
Jenama
Berdasarkan pengalaman pendek saya, barangan berjenama, sekalipun agak mahal, tapi kualitinya adalah terjamin. Teringat waktu dahulu, hobi saya adalah membeli jam berharga RM10 di pasar malam. Kebiasaannya, jam tersebut akan bertahan dalam tempoh dua – tiga bulan sahaja sebelum menjadi watak sedih ‘aku sebuah jam’. Berbanding sekarang, jam American Polo yang menjadi hantaran kahwin masih lagi kekal bernyawa dan cantik walaupun 2 tahun telah berlalu. Hanya tali jam sahaja yang rosak akibat kerap terkena alkali peluh pergelangan tangan yang mengakis.
Kesimpulannya, andaikata mampu, apa salahnya membeli barangan seperti jam, pakaian dan sebagainya yang berjenama sekadar keperluan, bukannya memenuhi kehendak diri. Perasaan teragak-agak semasa mengeluarkan belanja akan terbayar setelah kita dapat menggunakannya dalam tempoh yang lama. Sebuah jam yang berharga RM10 untuk tiga bulan, sepintas lalu memanglah murah, tetapi sebenarnya lebih mahal berbanding jam yang berharga RM100 dan digunakan sehingga tiga tahun (atau lebih).
Khamis, Disember 04, 2008
PEKERJA ASING..FENOMENA YANG DIPERSELISIHKAN
Saban hari di media massa kebelakangan ini orang sedang membicarakan mengenai warga asing yang datang bekerja di Malaysia. Berdasarkan pemerhatian, tiada satu pun ulasan bersifat positif dengan kehadiran mereka. Bahkan, semuanya membangkitkan perkara-perkara negatif dan menggambarkan seolah-olah warga asing ini majoritinya adalah penjahat, samseng, pemeras dan lain-lain.
Sebelum kita mengulas isu ini, sepatutnya kita cuba dahulu memahami secara spesifik, siapakah warga asing yang dimaksudkan? Ini tidak, membabi buta sahaja beri komen, dengan ulasan-ulasan bersifat hipotesis, tiada fakta, agakan sendiri, perasan hebat dan berat sebelah. Boleh baca sendiri di sini (forum Utusan Online bertarikh 5 Disember 2008)
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum
Saya tidak berhajat untuk membela warga asing yang bekerja di Malaysia. Cuma saya ingin meperincikan dahulu pembahagian mereka mengikut apa yang saya tahu dan berfakta. Semua perlu faham, dalam fiqh sekalipun, kaedah mengeluarkan hukum tidak boleh melihat kepada masalah secara umum, tetapi perlu diperincikan mengikut situasi (waqi’) dan maslahat. Sebagai contoh; dadah – hukumnya adalah haram hanya apabila diketagihkan. Ia tidak haram untuk perubatan. Sekiranya hendak qiaskan dadah dengan arak, hanya apabila wujud illah yang sama iaitu memabukkan. Sekiranya kita terus hukumkan haram dadah secara total, selepas ini takkan ada lagi panadol, paracetamol dan uphamol.
Saya memahami kebimbangan sesetengah warga Malaysia dengan kebanjiran warga asing. Akan tetapi mereka perlu fokuskan kepada siapa yang mereka bimbang? Perlu maklum, ada beberapa pembahagian warga asing di Malaysia:
1. Warga asing Mahir – ekspatriat atau pegawai dagang
Masuk secara sah dan menggunakan Pas Penggajian
2. Warga asing separa mahir/kurang mahir
Masuk secara sah menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara
3. Warga asing professional – hadir atas jemputan seperti pensyarah, pemuzik
Masuk secara sah menggunakan Pas Profesional
4. Warga asing pelawat
Masuk secara sah menggunakan Pas Lawatan Sosial
5. Warga asing yang merupakan tanggungan kepada pegawai dagang
Masuk secara sah menggunakan Pas Tanggungan
6. Selain itu, ada juga warga asing yang masuk secara sah, untuk tujuan-tujuan selain daripada di atas. Mereka ini diberikan Pas Khas oleh Imigresen.
Kemasukan secara di atas sebenarnya telah ditapis oleh Jabatan Imigresen. Penjenayah yang direkodkan oleh Polis Antarabangsa (INTERPOL) tidak akan berjaya masuk menggunakan mana-mana pas yang sah. Ini kerana secara automatik, sistem akan mengesan mereka sebagai penjenayah dan kelulusan masuk tidak akan dikeluarkan. Sebenarnya terdapat satu kategori yang sewajarnya kita takuti, iaitu warga asing yang masuk secara tidak sah / PATI. Sekiranya hendak mencerca, cercalah golongan ini, yang senyap-senyap melanggar undang-undang kita. Majoriti adalah Indonesia dan ada juga daripada negara jiran lain seperti Thailand, Filipina dan.. Singapura? Eh..ada ke tak.. Rasanya tak ada, sebab teori putaran penghijrahan antarabangsa menyatakan warga negara kurang maju akan berhijrah ke negara lebih maju. Indon pula lebih mudah masuk ke Malaysia kerana sempadan yang luas antara kita dan mereka terutamanya di Sabah dan Sarawak berbanding Singapura.
Tidak dinafikan, ada juga warga asing yang sah melakukan jenayah, tetapi bilangan mereka amatlah kecil berbanding PATI dan warga tempatan. Ini kerana mereka masuk secara sah – bukti nyata mereka adalah orang baik. Mereka juga terikat dengan majikan – kalau majikan tak puas hati, kena hantar balik. Mereka berniat nak cari rezeki, sebab itulah mereka berhijrah jauh mencari duit yang tiada di tempat asal. Untuk golongan seperti ini, Islam memberikan ruang luas kepada mereka, berhijrahlah cari rezeki yang halal. Sesungguhnya bumi Allah ini luas!
OK, mungkin kita boleh akui bahawa masalah utama adalah penguatkuasaan. Polis, tentera, imigresen, marin dan lain-lain penguatkuasa gagal membendung kemasukan PATI. Ada seorang individu yang dengan rakusnya cuba membandingkan cara Singapura membendung pekerja asing dan PATI berbanding Malaysia. Hakikatnya, kita nak bandingkan Malaysia dengan Singapura, seolah-olah seperti kita bandingkan banglo dengan bilik. Singapura hanyalah satu bilik, apa sahaja yang berlaku dapat dilihat oleh tuan punya bilik kerana :
1. Bilik adalah kecil;
2. Bilik senang dikemas;
3. Susah nak sembunyikan barang dalam bilik;
4. Senang nak geledah bilik;
5. Bodohlah kalau satu bilik pun tak boleh kawal!
Malaysia? Banglo 14 bilik, ada special 2 master bedroom (Sabah dan Sarawak)
1. Luas, ada laman lagi;
2. Pagar keliling pun susah nak monitor;
3. Bilik ada banyak sangat. Kadang-kadang tak sempat nak jenguk pun;
4. Nak kemaskan satu banglo perlu satu hari suntuk atau berhari-hari;
5. Ada anak jiran-jiran suka tebuk pagar..
Lagi pula, dalam usaha melindungi hak untuk warga tempatan bekerja, kita selamba salahkan warga asing yang datang mencari rezeki. Tujuh/lapan tahun dahulu saya pernah bekerja sementara di sebuah Stesen Minyak Shell. Bersama-sama saya adalah dua orang Indonesia dan sejumlah warga kita. Yang ditangkap mencuri duit, orang kita. Yang mencuri minyak hitam kereta dalam kedai (depan mata saya), orang kita. Yang bergaduh dengan samseng rempit, orang kita. Yang datang kerja seminggu je, orang kita. Mana tauke tak tension! Syukurlah saya sempat bekerja satu tahun setengah, dengan komited dan berdaya maju sebelum mendapat rezeki kerja Kerajaan. Alhamdulillah. Tauke pun tumpang gembira.
Satu lagi, Perlukah disekat kemasukan warga asing untuk bekerja atas alasan keselamatan? Pekerja daripada negara jiran kita kebanyakannya muslim, dan mereka kesempitan kehidupan di negara mereka. Negara UAE, mempunyai pekerja asing yang lebih ramai daripada warga tempatan. Dengan undang-undang yang ketat, kes jenayah yang berlaku sangatlah minimum. Oleh itu, sewajarnya kita berfikir secara rasional, atas dasar kemanusiaan dan kesedaran bahawa ‘Man jadda wajada’ (Siapa yang berusaha, dialah yang akan dapat), jangan disalahkan warga asing yang datang bekerja, salahkan diri kita dahulu yang memilih kerja walaupun kelulusan setakat PMR, tetapi mengharapkan kerja hawa dingin semata.
Wallahua’lam
Selasa, November 25, 2008
YOGA...ALAHAI YOGA..
Apa yang ditegaskan dalam fatwa berkenaan adalah pengharaman khusus kepada orang Islam untuk mengamalkan tatacara yoga berdasarkan agama hindu yang merangkumi dua elemen seperti di bawah:
1. amalan fizikal yoga,
2. unsur-unsur keagamaan (mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya penyatuan diri dengan tuhan)
Oleh itu, pengharamannya bukanlah secara total seperti yang difahami oleh masyarakat. Terdapat satu klausa dalam fatwa berkenaan seperti yang dipaparkan oleh JAKIM di alamat http://www.islam.gov.my/portal/yoga_Bm.php iaitu:
‘Sementara pergerakan amalan fizikal tanpa unsur-unsur di atas yang dilakukan pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan. Namun demikian, masyarakat Islam dingatkan wajib berhati-hati dan berwaspada dari perkara-perkara yang boleh menghakis akidah seseorang muslim. ‘
Sementara saya sendiri tidak pernah bersenam gaya yoga, dan tidak pula mengetahui bentuk-bentuk gerakan di dalamnya, saya tidaklah berautoriti untuk mengulas panjang lebar. Apa yang ingin dinasihati disini adalah seperti berikut:
1. Bagi non-muslim, anda tidak layak mempertikaikan fatwa yang khusus kepada orang Islam.
2. Bagi orang Islam, anda boleh membahaskannya tetapi tidak perlu membuat perbincangan secara terbuka. Memadai secara tertutup dengan orang Islam yang lain.
3. Tidak perlu ada individu yang ingin menjadi champion dengan mempertikaikan fatwa ini di dada-dada akhbar atau media massa.
4. Bagi orang Islam yang mampu berijtihad, mungkin mereka ada pandangan lain. Tetapi tidak wajar untuk mewarwarkan pandangan secara terbuka yang menyalahi keputusan Jawatankuasa Fatwa selaku badan paling berautoriti di Malaysia untuk mengeluarkan fatwa berkaitan orang Islam.
5. Bagi pengusaha pusat senaman yoga, cubalah kaji semula senaman anda atau dapatkan pandangan JAKIM berkenaan cara-cara untuk membolehkan pusat anda tetap beroperasi seperti biasa tanpa melanggar fatwa.
6. Sekiranya ingin bertukar kepada senaman lain, cubalah buat senaman harimau (Silat gayung), senaman aerobik, senaman jogging, tarik nafas panjang-panjang.. paling tidak jaga solat lima waktu. Gerakan solat pun dikira menenangkan juga..kenapa perlu yoga?
Khamis, November 06, 2008
Tanggung dan Jawablah di Akhirat...
Dalam konteks perkhidmatan awam, kita melihat wujudnya pelbagai skim yang mewakili keperlbagaian sektor perkhidmatan yang ditawarkan. Ada skim ‘S’ (sosial kot), ada ‘T’ untuk teknologi maklumat rasanya, ada ‘M’ untuk tadbir dan diplomatik, ada ‘DG’ yang merupakan guru-guru, ada ‘U’ untuk medical practitioners dan macam-macam lagi. Secara keseluruhannya, mereka adalah civil servants yang berkhidmat kepada rakyat di bawah payung Kerajaan sedia ada. Sepatutnya, tidak wujud persoalan siapa yang paling elit? Siapa yang paling professional? Siapa yang paling hebat pengorbanannya? Siapa yang paling itu, paling ini, dan macam-macam paling lagi…
Setiap skim memerlukan skim yang lain untuk kelangsungan perkhidmatan. Tidak ada skim yang boleh bergerak sendiri dan berdikari dalam melaksanakan kerja-kerja dan tanggungjawab mereka. ‘M’ yang selalunya membuat kertas-kertas dasar, memerlukan ‘T’ yang mempunyai statistik dan sistem manakala ‘U’ yang merawat pesakit memerlukan ‘M’ yang merancang peningkatan kerjaya mereka. (Manalah doktor ada masa nak memikirkan naik turun pangkat mereka, hari-hari sibuk je kalau tengok kat hospital kerajaan..) ini merupakan ikatan tidak rasmi dan penghubung antara skim yang sepatutnya boleh memberikan kesan terbaik kepada perkhidmatan awam di negara kita.
Akan tetapi..
Apa jadinya kalau terdapat satu skim yang lebih elit daripada skim yang lain?
Apa akan jadi kalau terdapat skim yang merasa diri mereka terabai dan dikesampingkan?
Apa rasanya kalau satu skim seolah-olah membolot hampir semua kedudukan tinggi yang ada?
Apa akan jadi kalau pengwujudan jawatan baru seolah-olah memberikan kedudukan tinggi kepada satu skim sedangkan justifikasinya tidak kuat?
Apa akan jadi akhirnya kalau skim-skim berpakat untuk meminggirkan satu skim yang lain?
Pelik rasanya, apabila dalam satu perbincangan dengan rakan-rakan yang baru dikenali, tiba-tiba situasi berubah mendung dan kemesraan yang hampir terjalin dimusnahkan dengan pengenalan diri sendiri atas faktor ‘saya ..Toot.. kat Kementerian/agensi ..Tuut… ‘Ooo, encik ..Tuut.. ni P** lah ye? Lepas tu dah tak ada lagi, kalau cakap-cakap pun macam dipaksa-paksa aje..
Balik kepada persoalan tanggungjawab..
Saya hanya tersenyum pahit.. Ubat memang pahit, sesetengah kebenaran juga agak pahit untuk ditelan. Tapi terimalah teguran dengan hati terbuka, sekurang-kurangnya mereka dapat menerima bahawa hanya ‘segelintir’ sahaja yang terlibat, dan tidak mewakili semua dalam satu skim.
Kalau tidak faham, tidak apa.
Sekian.
(artikel ini hanya campuraduk antara isi hati penulis dan luahan orang ketiga terhadap penulis, tidak ada sangkut paut dengan mana-mana skim, kementerian atau agensi)
Rabu, Oktober 17, 2007
Biarkan hari lebaran,
Melerai hati yang lama resah,
Demi sebuah persaudaraan,
Ratakan jurang yang menjadi pemisah...
Demikianlah bait-bait alunan nasyid yang pernah menjadi siulan penggemar nasyid suatu waktu dahulu. Betapa indahnya bahasa yang digunakan, dengan makna yang cukup mendalam. Kemaafan, merupakan satu rangkap kata yang menunjukkan penerimaan kembali sebuah perhubungan setelah retak dan pecah oleh suatu perkara atau peristiwa. Tidak lama lagi kita akan menyambut hari raya, bermakna akan bergema lagilah satu ucapan yang sama setiap tahun, yang tanpa disedari telah menjadi satu adat kebiasaan, dan bukan lagi satu tuntutan agama.
Ucapan ’selamat hari raya, maaf zahir batin’ amatlah sinonim dengan budaya orang melayu yang suka menangguhkan pekerjaan tanpa alasan yang kukuh. Betapa lama masa yang diambil untuk meminta maaf sekiranya kesalahan tersebut dilakukan pada bulan Zulkaedah tahun ini dan terpaksa pula menanti Syawal tahun hadapan? Anak-anak yang melakukan sekian banyak kesalahan terhadap ibu bapa dan melukakan hati mereka, adakah cukup sekadar memohon maaf di pagi hari raya? Kebiasaannya orang yang kita tidak kenal pun kita minta maaf pada pagi tersebut, maka kemaafan pada waktu itu sebenarnya tiada lagi nilai sebenar yang dikehendaki oleh ajaran Islam.
Umumnya kita semua mengetahui bahawa Nabi S.A.W. adalah contoh individu yang amat pemaaf. Baginda telah memaafkan kejahatan penduduk Ta’if, ketika mana Baginda berdakwah kepada mereka, tetapi dihalau dan dihujani dengan lemparan batu. Baginda cuma berdoa yang masyhur:’ Ya Allah, ampunilah kaumku sesungguhnya mereka belum mengetahui lagi (kebenaran agamaMu)’. Begitu juga setelah Nabi S.A.W. berjaya membuka Kota Mekah, Baginda telah menemui saki baki musyrikin yang sedang ketakutan; takut kerana orang yang mereka hina dan keji dahulu telah kembali dengan obor kemenangan, dan takut kemungkinan Nabi S.A.W. akan membalas kembali segala perbuatan buruk mereka dahulu terhadap diri Baginda. Akan tetapi segala ketakutan mereka hilang diganti dengan keinsafan dan kekaguman, apabila Baginda menegaskan tiada sebarang pembalasan tehadap perlakuan buruk mereka, dan mereka bebas untuk memilih Islam, atau kekal di dalam agama anutan mereka.
Pernahkah kita terfikir, mengapa kita sekarang perlu menunggu cukup lama untuk sekadar memohon kemaafan? Adalah satu jaminan yang kita masih diberikan peluang menghirup udara dunia pada hari raya ini? Sepatutnya kita jangan sekali-kali bertangguh untuk memohon maaf di atas kesalahan kita terhadap orang lain, kerana mungkin esoknya sebelum hari raya kita telah dipanggil mengadap Ilahi. Mungkin kita takut tidak akan dimaafkan pada hari-hari biasa, tetapi ingatlah dengan keikhlasan kita, Allah akan melembutkan hati orang yang kita pernah kita sakiti untuk memafkan kita. Sedangkan Nabi ampunkan umat...
Marilah kita bersama-sama bermaafan diatas segala kesilapan kita. Ingatlah, dosa dengan Allah, kita boleh mohon keampunan dari Nya. Tapi dosa dengan manusia takkan terampun selagi individu yang disakiti tidak memaafkannya. Janganlah sampai kita bawa dosa kita dengan orang lain ke liang lahad. Ambillah masa selagi hayat ada tanpa menunggu hari raya untuk kita memohon kemaafan di atas kesalahan kita, disamping kita bermurah hati pula memaafkan orang lain yang terkhilaf dengan kita.
Berteduh di rimbunan Aidilfitri,
Mengutip ampunan di halaman Ilahi,
Sejernih embun dingin di pagi hari,
Hanya setitis di syurga yang hakiki…
'EID MUBARAK' Selamat Hari Raya
Rabu, Mac 22, 2006
Wanita, isteri, ibu...
Kesibukan mulai berkurangan setelah banyak kerja-kerja rutin pejabat aku siapkan. dalam masa lapang sikit macam ni, bolehlah aku surf YG rakan-rakan DPA 2/2004. dalam banyak2 posting, aku agak berminat dengan posting mengenai isteri dan ibu. tambah plak, aku ni dah lama tak balik kampung. rinduuuu la jugak ngan ma especially, dan ayah serta adik2ku sekalian.
selaku orang yang masih bujang dalam ertikata close section (dah ada bakal isteri), aku rasa tersentuh gak dengan intipati posting beliau itu. memanglah, sebagai seorang yang bergelar anak, ibu adalah ratu hati yang tidak kan ada galang ganti selamanya. seorang lelaki wajib patuh kepada ibunya sebagai ganti kepatuhan ibu tersebut kepada suaminya. maknanya kat situ ada timbal balik yang adil. isteri wajib patuh kepada suami (perempuan taat kepada lelaki) manakala anak lelaki wajib patuh pada ibu (lelaki taat kepada perempuan). so, siapa kata Islam tidak adil dan gender bias? kesamarataan sebenarnya terwujud apabila Islam diturunkan, kerana sebelum itu wanita seolah2 tiada kedudukan dalam masyarakat jahiliah. apabila barat mula menggerakkan aktiviti2 womens' lib nya, aku memandang ianya adalah satu protes terhadap golongan2 lelaki yang tidak beragama dan menganiayai wanita2 mereka, tetapi protes itu menyeluruh hingga kepada lelaki yang berlaku adil. virus itu merebak pula menjangkiti wanita2 Islam yang kurang menghayati ajaran Ilahi, sehingga mereka pun menuntut keadilan yang serata-ratanya (menurut emosi mereka).
Wanita perlu sedar,
Selasa, Mac 21, 2006
Tapisan Sekuriti Keselamatan Hakiki
Pukul 11.00am, tapisan keselamatan untuk Ahmad Shariza JPM, aku ialah beliau punya pengadil (referee). hari ni ramai gak batch PTD 2-2004 yang ditapis dan diperah keluar santannya, macam Mira, Syukur, Ustat Hasny Zai, nasrul harris (rasanya diapun referee) dll. hari ni aku bertuah gak, dapat jumpa ngan member lama time UIA dulu, si Wan Ahmad Nizam. dah jadi pegawai BPR rupanya dia...
anyway, tiada kata seindah bahasa yang dapat kuungkapkan kepada si polis yang menapis. diapun mesra dan ceria membuatkan aku turut sama mesra dan ceria. semuanya berjalan dengan harmoni dan bahagia...hmmm kenyang rasanya selepas menjamu selera mee goreng dan teh free kat JPM. ngantuk la plak..
National Geographic Special
Semalam (seperti malam-malam sebelumnya) aku seperti biasa menonton Astro bersama-sama Pian dan Hazhar. Channel yang paling aku minati sudah semestinya 52,51 dan 50. ketiga-tiganya channel binatang! (discovery, animal planet dan Nat Geo) best wooo tengok kejadian Tuhan yang diolah dengan begitu cantik sekali. Sungguh hebat puak2 ni buat kajian, memang terperinci dan jelas seolah2 mereka hidup bersama-sama binatang tersebut.
menyebut mengenai Nat Geo, aku mendapat tahu yang mereka ni adalah golongan Darwinist yang percaya kepada teori evolusi (satu teori yang kelihatan saintifik tapi lebih kepada khayalan, lukisan, imaginasi dan tanggapan semata-mata). kalau nak tahu lebih lagi mengenai kebobrokan teori ni, sila layari website harunyahya.com. tapi takpalah, bukannya teori diorang yang aku nak kaji, tapi kesungguhan diorang tu yang aku boleh puji. sanggup hidup bersama2 binatang dan tumbuhan dihabitat mereka, tanpa mengganggu kehidupan mereka seharian. ini yang dikatakan natural observation macam yang aku belajo time kat UIA dulu.
tapi pelik gak. evolution theory takde la plak based on that kind of observation. meaning that diorang tak pernah tengok dengan mata kepala sendiri yang si dinoso tu berubah bentuknya secara beransur2 menjadi burung bangau, atau siberuk yang tangan panjang tu tiba2 jadi moyang Bush...agaknya macam mana la binatang2 tu hidup semasa tempoh perantaraan. tak pernah plak arkeologis jumpa fosil perantara kan? fikir-fikirkanlah. sains atau falsafah?
p/s: Cuba nak mencari jawapan dengan meminggirkan kekuasaan Tuhan hanya akan membawa diri manusia kearah kesesatan yang berpanjangan.