Rabu, Oktober 17, 2007

HARGA SEBUAH KEMAAFAN

Biarkan hari lebaran,
Melerai hati yang lama resah,
Demi sebuah persaudaraan,
Ratakan jurang yang menjadi pemisah...

Demikianlah bait-bait alunan nasyid yang pernah menjadi siulan penggemar nasyid suatu waktu dahulu. Betapa indahnya bahasa yang digunakan, dengan makna yang cukup mendalam. Kemaafan, merupakan satu rangkap kata yang menunjukkan penerimaan kembali sebuah perhubungan setelah retak dan pecah oleh suatu perkara atau peristiwa. Tidak lama lagi kita akan menyambut hari raya, bermakna akan bergema lagilah satu ucapan yang sama setiap tahun, yang tanpa disedari telah menjadi satu adat kebiasaan, dan bukan lagi satu tuntutan agama.

Ucapan ’selamat hari raya, maaf zahir batin’ amatlah sinonim dengan budaya orang melayu yang suka menangguhkan pekerjaan tanpa alasan yang kukuh. Betapa lama masa yang diambil untuk meminta maaf sekiranya kesalahan tersebut dilakukan pada bulan Zulkaedah tahun ini dan terpaksa pula menanti Syawal tahun hadapan? Anak-anak yang melakukan sekian banyak kesalahan terhadap ibu bapa dan melukakan hati mereka, adakah cukup sekadar memohon maaf di pagi hari raya? Kebiasaannya orang yang kita tidak kenal pun kita minta maaf pada pagi tersebut, maka kemaafan pada waktu itu sebenarnya tiada lagi nilai sebenar yang dikehendaki oleh ajaran Islam.

Umumnya kita semua mengetahui bahawa Nabi S.A.W. adalah contoh individu yang amat pemaaf. Baginda telah memaafkan kejahatan penduduk Ta’if, ketika mana Baginda berdakwah kepada mereka, tetapi dihalau dan dihujani dengan lemparan batu. Baginda cuma berdoa yang masyhur:’ Ya Allah, ampunilah kaumku sesungguhnya mereka belum mengetahui lagi (kebenaran agamaMu)’. Begitu juga setelah Nabi S.A.W. berjaya membuka Kota Mekah, Baginda telah menemui saki baki musyrikin yang sedang ketakutan; takut kerana orang yang mereka hina dan keji dahulu telah kembali dengan obor kemenangan, dan takut kemungkinan Nabi S.A.W. akan membalas kembali segala perbuatan buruk mereka dahulu terhadap diri Baginda. Akan tetapi segala ketakutan mereka hilang diganti dengan keinsafan dan kekaguman, apabila Baginda menegaskan tiada sebarang pembalasan tehadap perlakuan buruk mereka, dan mereka bebas untuk memilih Islam, atau kekal di dalam agama anutan mereka.

Pernahkah kita terfikir, mengapa kita sekarang perlu menunggu cukup lama untuk sekadar memohon kemaafan? Adalah satu jaminan yang kita masih diberikan peluang menghirup udara dunia pada hari raya ini? Sepatutnya kita jangan sekali-kali bertangguh untuk memohon maaf di atas kesalahan kita terhadap orang lain, kerana mungkin esoknya sebelum hari raya kita telah dipanggil mengadap Ilahi. Mungkin kita takut tidak akan dimaafkan pada hari-hari biasa, tetapi ingatlah dengan keikhlasan kita, Allah akan melembutkan hati orang yang kita pernah kita sakiti untuk memafkan kita. Sedangkan Nabi ampunkan umat...

Marilah kita bersama-sama bermaafan diatas segala kesilapan kita. Ingatlah, dosa dengan Allah, kita boleh mohon keampunan dari Nya. Tapi dosa dengan manusia takkan terampun selagi individu yang disakiti tidak memaafkannya. Janganlah sampai kita bawa dosa kita dengan orang lain ke liang lahad. Ambillah masa selagi hayat ada tanpa menunggu hari raya untuk kita memohon kemaafan di atas kesalahan kita, disamping kita bermurah hati pula memaafkan orang lain yang terkhilaf dengan kita.

Berteduh di rimbunan Aidilfitri,
Mengutip ampunan di halaman Ilahi,
Sejernih embun dingin di pagi hari,
Hanya setitis di syurga yang hakiki…

'EID MUBARAK' Selamat Hari Raya