Khamis, November 12, 2009

Nak Ikut Jalan Mana?

Dalam perbahasan Ilmu tauhid, saya melihat isu panas berkaitan pembida'ahan ilmu kalam dan pelabelan wahabi sama seperti dua orang individu yang ingin menuju ke satu tempat yang sama, iaitu dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu. Sebenarnya boleh duduk berbincang secara harmoni seperti ini; 

A: OK kita akan akan ke Kota Bharu, so jomlah kita akan ikut karak, lepas tu masuk bentong, Raub, sampai ke Gua Musang terus Kuala Krai, Machang, lepas tu akan sampai ke Kota Bharu.

B: Rasanya baik kita ikut karak terus ke Kuantan, ikut pesisir Terengganu lepas tu sampai ke pasir puteh, terus Kota Bharu. Lebih mudah.

A: Memang mudah tapi orang kata jauh jalannya. Kalau ikut gua musang, Cuma 8 jam sahaja. Ikut Kuantan mungkin sampai 10 jam.

B: Tapi ikut kuantan lebih selamat. Jalannya terus, line telefon ada all the way sampai ke Kota Bharu. Gua musang katanya gelap, takdak line, Jadi kalau sesat kan susah.

A: Kalau dah mahir macam aku, ikut gua musang tak dak masalah pun. Memang nampak susah sedikit, jalan sempit, line telefon kadang-kadang tak ada tapi lebih dekat, lebih cepat sampai, lebih cepat rehat kat rumah.

B: Aku risau jalannya, dengar kata jalan tak baik, berlobang-lobang. Lepas tu kalau kereta rosak, susah kan nak cari pomen. Jom lah ikut kuantan, lagipun aku tak biasa jalan gua musang.

A: Aku malas la jalan ikut jalan jauh ni. Memanglah senang, teruus je kan. Tapi kalau dah biasa lalu gua musang macam aku ni takda masalah pun. Mana jalan ada lobang sangat, orang yang cerita tu exaggerate je. Pomen ada lah kat mana-mana. Atas bukit tujuh tu pun ada pomen. Cuma kena pandai cari. Walaupun nampak macam hutan, tapi sebenarnya ada kampung. 
.......

B: Tak pa lah, aku ikut kuantan je lah. Ko?
A: Aku ikut gua musang. Jumpa kat Kota Bharu OK.
B: OK 

Aqidah hakikatnya adalah satu iaitu Tiada tuhan melainkan Allah, dan Muhammad itu Pesuruh Allah. Bagaimana menjelaskan dan memperdebatkan kalimah ini, sama ada kepada penganut atau kepada musuh, maka itulah yang menjadikan kaedahnya berbeza, iaitu perbezaan manhaj (Schools of Thought) Salaf dan Khalaf dalam memperjelaskan Allah itu Esa tiada sekutu baginya, dan Muhammad itu Rasul yang diutuskan oleh Nya. Bagi Salaf, tools yang boleh digunakan untuk kehujahan aqidah adalah AlQuran dan hadith. Bagi Khalaf, mereka menggunakan aqal dan kalam sebagai memperkuatkan kehujahan AlQuran dan hadis. Kedua-dua manhaj ini ada golongan yang terseleweng/ ekstrim. Salaf ada yang ekstrim memegang zahir nas sehingga menjadi musyabbihah atau mujasssimah, manakala Khalaf pula ada golongan yang ekstrim seperti Jabariyyah dan Qadariyyah. 

Jalan yang ringkas adalah jalan Salaf. Terima sahaja dan diam tanpa ada takwil. Serahkan maknanya kepada Allah. Kalau tangan, tanganlah, kalau duduk, duduklah. Tiada perbahasan, hanya kekal meyakini tanzih (Allah tidak sama dengan makhluk). Jalan Khalaf (Asyairah dan Maturidiyah) mempunyai perbahasan dan takwil yang lebih kuat untuk menetapkan aqidah Islam secara rasional berdasarkan nas. Kehujahan yang kita ada khususnya dalam ilmu kalam membolehkan kita mempertahankan aqidah Islam sekiranya dicabar dengan apa-apa fahaman baharu yang menyeleweng. 

Apapun, kedua-duanya adalah JALAN, dan lebih bermanafaat kalau kita mengetahui kedua-duanya, daripada hanya tahu satu, tetapi menolak secara total satu lagi jalan. Adalah memburukkan keadaan, apabila perbalahan ini bepanjangan sehingga melarat ke peringkat ibadah, mualamat dan politik pula seperti mana sekarang ini..(Kaum Muda v/s Kaum Tua) Tidak bolehkah kita berlapang dada seperti senario yang saya gambarkan? Ikutlah jalan mana kamu pilih, janji sampai, jangan sesat...Wallahua'lam.

Khamis, November 05, 2009

Dr Asri v/s Ustaz Zamihan; Satu Penilaian...

Pertembungan antara Dr. Asri dan Ustaz Zamihan telah lama saya ikuti, sejak saya masih menuntut di bumi UIAM lagi. Masih tergambar di fikiran saya sebuah buku berjudul "Salafiyah Wahabiyah Satu Penilaian" karangan Ustaz Zamihan yang kemudiannya mendapat kritikan keras Dr Asri melalui akhbar arus perdana. Pada masa itu saya merasa agak kesal kerana satu isu sensitif berkaitan isu wahhabi, salafi, khalafi dan sebagainya diwarwarkan kepada awam melalui akhbar. Habis keliru mat-mat rempit dan geng-geng berkot-bertali leher merah yang mungkin tidak pernah belajar dalil-dalil berkaitan cara mandi wajib pun! Hakikatnya, ia adalah perbalahan ilmiyah yang dalam, rumit dan tidak wajar sama sekali disensasikan.

Saya hairan, mengapa dua individu ini tidak pernah bertemu janji, bersua muka dan berbincang pendapat masing-masing secara berdepan. Walaupun saya mungkin dianggap ustaz kurang ilmu kerana berkelulusan Perbandingan Agama, satu pengkhususan Ilmu Wahyu daripada UIAM, saya masih berkemampuan untuk memahami bahawa apa yang diperbalahkan itu sebenarnya tidaklah melibatkan perbezaan aqidah dan tidak pula membatalkan syahadah. Kedua-duanya masih muslim bahkan kedua-duanya berpendidikan tinggi pula. Perbezaan yang wujud adalah dalam menetapkan kaedah memahami keesaan Allah dan khilaf sama ada boleh takwil atau tidak boleh beberapa perkara melibatkan ayat-ayat yang kabur maknanya (Mutasyabihat). Selain itu, terdapat perselisihan perkara-perkara furu’ yang boleh didiamkan sahaja demi kemaslahatan ummah.

Hari ini, perbalahan itu timbul lagi setelah Dr Asri ditangkap oleh JAIS. Ustaz Zamihan menggunakan status rasminya sebagai Penolong Pengarah ILIM untuk menambahkan rencah penangkapan tersebut, yang hakikatnya mendapat kritikan ramai pihak. Perlu difahami, jawatan penolong pengarah dalam pentabiran kerajaan adalah pada gred 41, yang mana tentunya ada ketua berjawatan pengarah yang lebih berautoriti untuk memberikan komen. Adalah lebih selamat Ustaz Zamihan mendiamkan diri seketika, tidak gopoh memberikan ulasan walaupun mungkin beliau sedikit gembira dengan penangkapan Dr Asri. Sekarang tidak pasal-pasal beliau tertanggung sama palitan cacian dan cemuhan dari semua pihak termasuk semua pemimpin parti politik. Biarlah JAIS sahaja yang menjawab persoalan berkaitan penangkapan tersebut, sekurang-kurangnya mereka ada asas penangkapan walaupun boleh dipertikaikan.

Akhir kata, tuan-tuan berdua adalah orang berilmu, janganlah sekadar berdebat dari jauh, hadirlah bertemu muka dan berbincang, semoga wujud di sana manfaat yang lebih besar untuk Islam. Insya Allah.