Rabu, Disember 17, 2008

Antara durian runtuh dan tanah runtuh

Seorang rakan yang mendapat tawaran jawatan Pegawai Tadbir Negeri (Pengurusan dan Profesional) menceritakan bahawa sebaik sahaja dia menerima jawatan tersebut, wakil Kerajaan negeri sudah berjanji yang Sultan akan menganugerahkan tanah dalam dua-tiga ekar kepada beliau. Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama, beliau mendapat tawaran jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik peringkat persekutuan, lantas mengambil keputusan menolak tawaran negeri dan memilih tawaran persekutuan. "Langkah kaki saya lebih luas, dan lebih senang naik pangkat. Lagipun kalau setakat dapat tanah lereng bukit di Gua Musang nak buat apa?" Kata beliau. Saya terfikir, Sayang juga, yalah, siapa nak bagi tanah free, itu durian runtuh namanya. Mana tahu suatu hari nanti Kerajaan negeri memutuskan untuk membangunkan Gua Musang sebagai Ibu Negeri Kelantan (Macam Putrajaya sekarang), dah tentu beliau menyesal!

Gua Musang? Lereng Bukit? Tanah Tinggi? Pembangunan? Fikir dahulu…

Ada seorang individu pernah bekerja sebagai Pembantu Pelanggan di Stesen Minyak Shell Jalan Ampang, MRR2, sekitar sepuluh-dua puluh meter sahaja daripada susur masuk ke Bukit Antarabangsa. Beliau pernah – pada masa lapang – menunggang motor Honda C70nya memanjat Bukit berkenaan, memang tinggi, sejuk dan curam. Terpaksa guna gear dua kadang-kadang gear satu. Melihat keadaan rumah-rumah banglo dan perumahan elit di kawasan berkenaan, beliau merasa agak segan sekiranya terserempak dengan penduduk atau warga Bukit Antarabangsa. Mesti wujud syak wasangka yang beliau nak mencuri ke, nak melihat-lihat rumah kosong ke untuk pecah masuk. Terus beliau corner baring semula turun ke bawah menuju ke tempat golongan marhaen – asrama untuk pekerja Shell Jalan Ampang. Jalannya yang curam, adalah kurang sesuai kepada pemilik-pemilik kenderaan seperti motosikal berkuasa rendah, Kancil dan Proton Saga untuk berulang-alik. Lainlah kalau kereta Honda Civic, Mercedes Benz dan Toyota Fortuner. Melihatkan kereta saja, dah tentu sepintas lalu sahaja kita dah dapat mengenalpasti status pemilik rumah di kawasan ini.

Sememangnya rumah banglo di atas bukit melambangkan status, gaya dan kemegahan, dengan hillview yang indah dan menawan, udaranya yang segar dan ketenangan yang merehatkan minda. Sesuai untuk individu-individu korporat berusia lewat lima puluhan yang bercadang untuk bersara dan berehat di hari tua. Bayangkan kehidupan ini: Pagi-pagi selepas subuh (kalau sembahyang), terus berjogging santai di laluan-laluan pejalan kaki yang dingin, kemudiannya pulang kerumah untuk berehat, sarapan pagi dan ber chit chat suami isteri mengenangkan cerita suka duka lampau. Kemudiannya membaca akhbar di ruang beranda dengan angin sepoi-sepoi bahasa, akhirnya terlena di atas kerusi malas. Bangun tidur, makan tengah hari, menonton televisyen, bergelak ketawa dengan lelucon The Nanny, atau Mr. Bean. Petangnya berjalan-jalan di taman atau berkebun di belakang rumah, menanam bunga-bungaan sambil mengeluarkan peluh untuk kesihatan. Malamnya makan malam, menonton berita, berborak-borak dan… tidur. Alangkah tenangnya hidup di dunia tinggi. Wang tiada masalah, anak-anak semua berjaya kaya raya.

Itu cerita dahulu. Rasanya mentaliti masyarakat berduit sudah mula berubah. Sekarang rumah di cerun bukit, di kawasan tinggi dilihat menakutkan, mengancam nyawa dalam jangka masa panjang dan tidak berbaloi untuk sebuah rumah berharga jutaan ringgit yang sepuluh – dua puluh tahun kemudiannya runtuh menyembah bumi tanpa sebarang perlindungan insurans. Apatah lagi ia melibatkan ancaman nyawa terhadap orang tersayang, seperti yang berlaku di Bukit Antarabangsa seminggu dua ini. Sehingga hari ini pun, situasi masih tidak stabil, dengan tanah masih runtuh, dan hujan yang turun kelihatan membantu proses ini. Kita melihat di kaca televisyen, penduduk-penduduk yang mengalami bencana tersebut amat tertekan dan antaranya sudah hilang sabar, menjerit dan memaki wakil rakyat, membuat laporan polis, mengemukakan saman terhadap PBT dan sebagainya.

Hakikatnya mereka sedang diuji. Dahulunya dengan kesenangan, sekarang dengan kesusahan.

Mungkin kita boleh muhasabah diri, apakah semasa kita diuji dengan kesenangan dahulu, kita ingatkan Tuhan yang telah mengurniakan kesenangan itu? Dan sekarang ini, dengan kesusahan pula, adalah terlintas di hati kita bahawa ini ujian Tuhan? Sukar untuk kita bayangkan kesusahan yang akan tiba apabila selama bertahun-tahun diliputi dengan kesenangan dan kemewahan. Mungkin tidak pernah terlintas di hati kecil pun bahawa Allah akan mengambil balik apa yang diberi olehNya – dalam tempoh tidak sampai setengah jam..

“Kepunyaan Allah segala apa yang ada di langit dan di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati atau kamu sembunyikannya, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendakiNya dan menyiksa siapa yang dikehendakiNya. Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
(Surah Al-Baqarah Ayat 284)

Moral:
Zaman sekarang, Kalau nak beli rumah atas bukit, kena pastikan dulu iman dah kuat, sembahyang tak tinggal, zakat bayar, taat pada orang tua, tidak berbohong, rezeki daripada sumber halal, buat benda-benda baik dan tinggalkan benda-benda jahat serta sentiasa bersedia untuk mati. Yalah, tiada siapa tahu pada waktu lena di dinihari tiba-tiba Allah goncangkan sedikit bukit, rumah kita pun runtuh menyembah bumi. Sama-samalah kita sediakan payung sebelum hujan dan sediakan amal sebelum mati..

Rabu, Disember 10, 2008

Teknologi dan Jenama: Keperluan atau kehendak?

Pada pertengahan bulan November 2008 yang lepas, seorang jejaka dihadiahkan seutas jam tangan berjenama crocodile dan sebuah telefon bimbit Nokia 3110 Classic oleh isterinya sempena ulang tahun kelahirannya. Jam tersebut, bersalut perak bertali besi dengan kapasiti ketahanan tekanan air (water resistant bukan waterproof) sedalam 30 meter adalah model analog, dengan jarum berwarna perak dan mempunyai sistem calendar default 31 hari sebulan (kalau bulan yang ada 30 hari, terpaksa di adjust sedikit). Telefon pula merupakan model tahun 2008, housing plastik berwarna hitam pekat, skrin berwarna dengan abiliti SMS, MMS, Video messaging, Email, Internet-GPRS, perakam suara, kamera/Video Recorder 1.3 MP dan kapasiti 1Gb mini SD card (boleh di upgrade). Ini merupakan peningkatan daripada model lama yang tiada warna dan tiada apa kecuali boleh bercakap dan boleh SMS.

Teknologi

Minat yang mendalam terhadap teknologi boleh menjadikan seseorang itu selangkah ke hadapan berbanding orang lain. Dikala orang lain masih menghantar SMS teks, beliau boleh berbangga dengan MMS yang disertakan gambar, video dan suara sekali. Dikala orang menyambung streamyx/ terpaksa ke Cyber Cafe untuk membuka email, beliau boleh membuka yahoo mail nya daripada handphone sahaja. Mudah bukan!

Sesetengah orang berpendapat, apa perlunya semua teknologi ini? Kenapa perlu membazir sedangkan apa yang penting hasrat berkomunikasi tercapai. Belilah teknologi sekadar keperluan sahaja, sekiranya tiada keperluan, maka biarkanlah. Tertinggal atau ketinggalan zaman tak apa, datuk nenek zaman dahulu pun boleh hidup tanpa telefon, elektrik dan air paip. Saya mempunyai pendapat yang kontras. Memang dipersetujui, teknologi bukanlah keperluan dalam hidup, tetapi ia merupakan alat untuk membolehkan kita hidup dengan lebih berkualiti dan meminimumkan perkara-perkara leceh. Sebagai contoh, Mesin basuh automatik lebih mudah dan menjimatkan masa berbanding mesin basuh separa auto, yang tentunya lebih menjimatkan masa dan tenaga berbanding membasuh menggunakan tangan. Vacuum Cleaner pula boleh meminimumkan habuk yang berterbangan berbanding penyapu sekaligus merupakan alat yang berkualiti bagi pesakit asma. Begitu juga dengan telefon bimbit. Tentunya dengan fungsi yang lebih meluas, saya dapat berkomunikasi dengan lebih berkualiti berbanding menggunakan telefon biasa. Bahkan dengan sistem storan yang luas, saya dapat menyimpan apa-apa data atau maklumat yang penting di dalam telefon untuk digunakan kelak. Cuma perlulah rajin belajar dan kreatif bagi mengelakkan membeli barang mahal sia-sia sahaja – tak pandai nak guna..
Kesimpulannya, teknologi adalah keperluan masa kini.

Jenama

Berdasarkan pengalaman pendek saya, barangan berjenama, sekalipun agak mahal, tapi kualitinya adalah terjamin. Teringat waktu dahulu, hobi saya adalah membeli jam berharga RM10 di pasar malam. Kebiasaannya, jam tersebut akan bertahan dalam tempoh dua – tiga bulan sahaja sebelum menjadi watak sedih ‘aku sebuah jam’. Berbanding sekarang, jam American Polo yang menjadi hantaran kahwin masih lagi kekal bernyawa dan cantik walaupun 2 tahun telah berlalu. Hanya tali jam sahaja yang rosak akibat kerap terkena alkali peluh pergelangan tangan yang mengakis.

Kesimpulannya, andaikata mampu, apa salahnya membeli barangan seperti jam, pakaian dan sebagainya yang berjenama sekadar keperluan, bukannya memenuhi kehendak diri. Perasaan teragak-agak semasa mengeluarkan belanja akan terbayar setelah kita dapat menggunakannya dalam tempoh yang lama. Sebuah jam yang berharga RM10 untuk tiga bulan, sepintas lalu memanglah murah, tetapi sebenarnya lebih mahal berbanding jam yang berharga RM100 dan digunakan sehingga tiga tahun (atau lebih).
Fikir-fikirkanlah…keperluan atau kehendak?

Khamis, Disember 04, 2008

PEKERJA ASING..FENOMENA YANG DIPERSELISIHKAN

Bekukan kemasukan pekerja asing?

Saban hari di media massa kebelakangan ini orang sedang membicarakan mengenai warga asing yang datang bekerja di Malaysia. Berdasarkan pemerhatian, tiada satu pun ulasan bersifat positif dengan kehadiran mereka. Bahkan, semuanya membangkitkan perkara-perkara negatif dan menggambarkan seolah-olah warga asing ini majoritinya adalah penjahat, samseng, pemeras dan lain-lain.

Sebelum kita mengulas isu ini, sepatutnya kita cuba dahulu memahami secara spesifik, siapakah warga asing yang dimaksudkan? Ini tidak, membabi buta sahaja beri komen, dengan ulasan-ulasan bersifat hipotesis, tiada fakta, agakan sendiri, perasan hebat dan berat sebelah. Boleh baca sendiri di sini (forum Utusan Online bertarikh 5 Disember 2008)
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum

Saya tidak berhajat untuk membela warga asing yang bekerja di Malaysia. Cuma saya ingin meperincikan dahulu pembahagian mereka mengikut apa yang saya tahu dan berfakta. Semua perlu faham, dalam fiqh sekalipun, kaedah mengeluarkan hukum tidak boleh melihat kepada masalah secara umum, tetapi perlu diperincikan mengikut situasi (waqi’) dan maslahat. Sebagai contoh; dadah – hukumnya adalah haram hanya apabila diketagihkan. Ia tidak haram untuk perubatan. Sekiranya hendak qiaskan dadah dengan arak, hanya apabila wujud illah yang sama iaitu memabukkan. Sekiranya kita terus hukumkan haram dadah secara total, selepas ini takkan ada lagi panadol, paracetamol dan uphamol.

Saya memahami kebimbangan sesetengah warga Malaysia dengan kebanjiran warga asing. Akan tetapi mereka perlu fokuskan kepada siapa yang mereka bimbang? Perlu maklum, ada beberapa pembahagian warga asing di Malaysia:

1. Warga asing Mahir – ekspatriat atau pegawai dagang
Masuk secara sah dan menggunakan Pas Penggajian

2. Warga asing separa mahir/kurang mahir
Masuk secara sah menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara

3. Warga asing professional – hadir atas jemputan seperti pensyarah, pemuzik
Masuk secara sah menggunakan Pas Profesional

4. Warga asing pelawat
Masuk secara sah menggunakan Pas Lawatan Sosial

5. Warga asing yang merupakan tanggungan kepada pegawai dagang
Masuk secara sah menggunakan Pas Tanggungan

6. Selain itu, ada juga warga asing yang masuk secara sah, untuk tujuan-tujuan selain daripada di atas. Mereka ini diberikan Pas Khas oleh Imigresen.

Kemasukan secara di atas sebenarnya telah ditapis oleh Jabatan Imigresen. Penjenayah yang direkodkan oleh Polis Antarabangsa (INTERPOL) tidak akan berjaya masuk menggunakan mana-mana pas yang sah. Ini kerana secara automatik, sistem akan mengesan mereka sebagai penjenayah dan kelulusan masuk tidak akan dikeluarkan. Sebenarnya terdapat satu kategori yang sewajarnya kita takuti, iaitu warga asing yang masuk secara tidak sah / PATI. Sekiranya hendak mencerca, cercalah golongan ini, yang senyap-senyap melanggar undang-undang kita. Majoriti adalah Indonesia dan ada juga daripada negara jiran lain seperti Thailand, Filipina dan.. Singapura? Eh..ada ke tak.. Rasanya tak ada, sebab teori putaran penghijrahan antarabangsa menyatakan warga negara kurang maju akan berhijrah ke negara lebih maju. Indon pula lebih mudah masuk ke Malaysia kerana sempadan yang luas antara kita dan mereka terutamanya di Sabah dan Sarawak berbanding Singapura.

Tidak dinafikan, ada juga warga asing yang sah melakukan jenayah, tetapi bilangan mereka amatlah kecil berbanding PATI dan warga tempatan. Ini kerana mereka masuk secara sah – bukti nyata mereka adalah orang baik. Mereka juga terikat dengan majikan – kalau majikan tak puas hati, kena hantar balik. Mereka berniat nak cari rezeki, sebab itulah mereka berhijrah jauh mencari duit yang tiada di tempat asal. Untuk golongan seperti ini, Islam memberikan ruang luas kepada mereka, berhijrahlah cari rezeki yang halal. Sesungguhnya bumi Allah ini luas!

OK, mungkin kita boleh akui bahawa masalah utama adalah penguatkuasaan. Polis, tentera, imigresen, marin dan lain-lain penguatkuasa gagal membendung kemasukan PATI. Ada seorang individu yang dengan rakusnya cuba membandingkan cara Singapura membendung pekerja asing dan PATI berbanding Malaysia. Hakikatnya, kita nak bandingkan Malaysia dengan Singapura, seolah-olah seperti kita bandingkan banglo dengan bilik. Singapura hanyalah satu bilik, apa sahaja yang berlaku dapat dilihat oleh tuan punya bilik kerana :

1. Bilik adalah kecil;
2. Bilik senang dikemas;
3. Susah nak sembunyikan barang dalam bilik;
4. Senang nak geledah bilik;
5. Bodohlah kalau satu bilik pun tak boleh kawal!

Malaysia? Banglo 14 bilik, ada special 2 master bedroom (Sabah dan Sarawak)

1. Luas, ada laman lagi;
2. Pagar keliling pun susah nak monitor;
3. Bilik ada banyak sangat. Kadang-kadang tak sempat nak jenguk pun;
4. Nak kemaskan satu banglo perlu satu hari suntuk atau berhari-hari;
5. Ada anak jiran-jiran suka tebuk pagar..

Lagi pula, dalam usaha melindungi hak untuk warga tempatan bekerja, kita selamba salahkan warga asing yang datang mencari rezeki. Tujuh/lapan tahun dahulu saya pernah bekerja sementara di sebuah Stesen Minyak Shell. Bersama-sama saya adalah dua orang Indonesia dan sejumlah warga kita. Yang ditangkap mencuri duit, orang kita. Yang mencuri minyak hitam kereta dalam kedai (depan mata saya), orang kita. Yang bergaduh dengan samseng rempit, orang kita. Yang datang kerja seminggu je, orang kita. Mana tauke tak tension! Syukurlah saya sempat bekerja satu tahun setengah, dengan komited dan berdaya maju sebelum mendapat rezeki kerja Kerajaan. Alhamdulillah. Tauke pun tumpang gembira.

Satu lagi, Perlukah disekat kemasukan warga asing untuk bekerja atas alasan keselamatan? Pekerja daripada negara jiran kita kebanyakannya muslim, dan mereka kesempitan kehidupan di negara mereka. Negara UAE, mempunyai pekerja asing yang lebih ramai daripada warga tempatan. Dengan undang-undang yang ketat, kes jenayah yang berlaku sangatlah minimum. Oleh itu, sewajarnya kita berfikir secara rasional, atas dasar kemanusiaan dan kesedaran bahawa ‘Man jadda wajada’ (Siapa yang berusaha, dialah yang akan dapat), jangan disalahkan warga asing yang datang bekerja, salahkan diri kita dahulu yang memilih kerja walaupun kelulusan setakat PMR, tetapi mengharapkan kerja hawa dingin semata.

Wallahua’lam