Selasa, September 21, 2010

Islam sejagat, Melayu setempat..

Apa kelebihannya menjadi orang melayu?

Berbanding apa kehebatan menjadi orang Islam?

Semangat kaum biasanya berapi-api. Kelangsungan generasi dalam kaum menjadi keutamaan. Kaum kami perlu mendapat segala kelebihan yang ada. Semua penghalang, ancaman dan penyekat perlu dibasmi walau apa bayarannya sekalipun.

Semangat kaum menyaksikan keinginan untuk menguasai dan merasa selamat, walaupun terpaksa menjatuhkan satu kaum yang lain. Sekiranya perasaan selamat itu telah tiada, maka akan bermulalah tuduh menuduh, syak mengesyaki dan perbalahan. Konfrontasi dan ejek mengejek akan menjadi mainan. Lihat sahaja di dalam Internet..sampai agama juga dilibatkan dalam perbalahan antara kaum.

Sebab itulah perkauman tidak mungkin sama sekali boleh menjadi agen dakwah Islam. Kerana itulah agama Islam tidak tersebar ke pelusuk dunia di tangan bangsa arab secara kearaban. Yang kekal dalam Bahasa Arab adalah bacaan solat dan AlQuran. Merentas dunia, Islam berkembang dalam suasana persekitaran, dan dalam bahasa ibunda masing-masing.
Kerana itu jugalah negara maju tidak boleh ada semangat perkauman yang terlampau. Kerana semangat ini akan menyekat kemajuan. Menjadikan individu berpotensi dari kaum lain dimangsakan. Amerika mungkin contoh terbaik negara maju masakini. Siapa presidennya sekarang? Ingat tak, suatu masa dulu, kaum presiden tersebut adalah hamba...

Mengikatkan satu jenis kaum dengan agama adalah satu jalan selamat. Seperti mengikat melayu dengan Islam. Tapi hakikatnya ‘jalan’ sahaja yang selamat, tidak orangnya. Selamat dalam perundangan, dengan adanya larangan menukar agama secara terbuka. Tapi dalaman individu, adakah mampu disekat? Lama kelamaan mereka akan menjadi barah dalam masyarakat. Atau munafiq yang menghancurkan kaum dan agama sekali daripada dalam..

Selama mana kita mahu bergantung kepada undang-undang untuk survival agama kita? Yang diikat dengan bangsa kita? Sehinggakan masuk Islam bagi kaum lain disamakan juga dengan masuk melayu..Mana-mana orang Cina dan India masuk Islam, dinamakan mualaf selama hayatnya, memakai songkok dan baju melayu. Kenapa? Adakah jubah kungfu Wong Fei Hong dan kofiah cina tidak Islamik? Tidak sah sembahyang?

Masuklah Islam.

Bukan masuk melayu.

Jumaat, Ogos 06, 2010

Isu..isu (kahwin muda dan gejala sosial)

Dua hari lepas, kita terkejut mendengarkan ura-ura remaja bawah umur dibenarkan berkahwin di Melaka (Negeri lain macam mana?) Keputusan ini adalah salah satu cara yang difikirkan terbaik oleh Kerajaan Negeri Melaka untuk membendung gejala sosial antara remaja lelaki dan perempuan disamping mengelakkan berlakunya kehamilan luar nikah dan pembuangan bayi.

Kejutan itu bagaimanapun tidaklah besar. Umumnya dalam Islam, sememangnya tiada sekatan umur perkahwinan asalkan telah ‘bersedia’. Persediaan ini dicapai berdasarkan kematangan individu atau penetapan keluarga dan adat. Bagi negara-negara arab dan Asia Tengah, sehingga kini pun masih wujud adat mengahwinkan anak yang muda, berumur di bawah lima belas tahun kerana ia telah berjalan sejak dulu lagi. Penetapan umur minima untuk berkahwin pada masa ini sebenarnya hanya berdasarkan undang-undang Barat yang meletakkan umur lapan belas tahun sebagai dewasa.

Adakah ia berkesan mengatasi masalah gejala sosial?

Kalau kita istilahkan gejala sosial ini sebagai pokok, maka kita akan fahami bahawa pokok tidak akan mati selagi wujud akarnya (dengan sedikit batang) di dalam tanah. Begitulah juga tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri ini pun sebagai mencantas dahan-dahan sahaja. Apatah lagi Baby Hatch, ia sekadar membuang daun dan pucuk sedikit. Akar utama tidak terjejas dan batangnya masih kukuh. Kalau semacam ini, sampai bila-bila pun gejala sosial - hamil tidak sah - pembuangan bayi akan terus hidup dan berpotensi subur.

Gejala sosial yang memunculkan fenomena pembuangan bayi ibarat pokok mengeluarkan hasil, dan hasil tersebut tidak pula diingini. Ia ibarat serumpun lalang yang menaburkan benih-benih lalang, akhirnya penuh satu padang dengan lalang sahaja. Kita tidak boleh memandang negatif tindakan-tindakan Kerajaan dan peranan yang telah dimainkan pada masa ini. Tetapi kita mesti melihat lebih jauh dan mencari ‘akar’nya untuk ditebang secara kekal. Fokus penulis adalah pada warga Muslim memandangkan masyarakat non-muslim tidak memandang pergaulan bebas/gejala sosial lelaki/perempuan sebagai satu dosa berbanding muslim.

Akar tunjang : Pengabaian penghayatan amalan Islam dalam keluarga/masyarakat Islam (famili moden katakan)

Akar sampingan : Sistem pembelajaran yangmemfokuskan kecemerlangan akademik dan mengabaikan akhlaq (kejar A sampai tak kisah seluar terlondeh)

Batang pokok : Pendedahan kelucahan internet/online (melalui komputer dan handphone) yang tidak terkawal (zaman dulu memang tak ada)

Dahan pokok : Pergaulan bebas tanpa kawalan (kawan biasa saja..)

Ranting ? Daun?

Rabu, Jun 30, 2010

Dilema seorang PTD

Sebagai seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik, saya merasa agak terasa hati apabila ada pihak-pihak tertentu membelasah skim ini semahunya. Perkara yang sering ditimbulkan adalah kenaikan pangkat, gaji besar kerja baru berapa tahun, kerja rilek, malas, sombong dan kurang berpengetahuan (tapi buat-buat tahu). Tidak dinafikan, sememangnya ada individu yang berperangai seperti yang didakwa. Bahkan ada rakan-rakan saya yang kelihatannya tidak sabar menunggu untuk kenaikan pangkat. Bila terserempak, itulah topik awal untuk perbualan.

Selaku lepasan aliran agama, saya tidak mahu memanjangkan hujah atau memperdebatkan persoalan ini. Segala yang berlaku adalah ketetapan Ilahi, dan telah tercatat di dalam Luh Mahfuz bahawa skim ini begitulah kedudukannya manakala skim lain pula kedudukannya berbeza. Saya telah ditakdirkan untuk menjadi PTD walaupun dalam senario asal, sepatutnya saya menjadi seorang ustaz. Bukannya saya tahu pun apa kelebihan PTD semasa mengisi borang SPA, saya letakkannya sebagai salah satu pilihan hanyalah kerana ia bersesuaian dan cukup syarat dengan kelulusan semasa yang saya ada.

Hakikatnya saya menghormati semua warga skim lain, seperti guru, pensyarah, kaunselor dsb. Saya merasakan kedudukan guru adalah lebih tinggi dan mulia daripada saya tidak kira apa gred seorang guru, kerana saya adalah hasil daripada didikan dan keringat seorang guru. Bahkan, apabila saya gagal dalam ujian awal KPLI-JQAF, saya merasakan sememangnya saya tidak layak menjadi seorang guru, dan saya lebih sesuai membuat kerja pentadbiran. Itulah ketetapan Ilahi. Dia Maha Mengetahui yang terbaik buat hambaNya.

Perbezaan gaji dan kenaikan pangkat mungkin memberikan kesan terhadap kewibawaan PTD, yang dilihat amat pantas melonjak ke pangkat tinggi sekaligus membezakan kedudukan gaji dengan pegawai skim lain yang berkhidmat dalam tempoh sama. Masalah kurang pengalaman, kurang pengetahuan dsb sering ditimbulkan dan bagi saya, ia adalah cabaran. Apa yang penting, saya menghormati semua kakitangan terutamanya yang lebih tua, dan tidak melayan mereka seperti orang bawahan. Pengalaman mereka amat berharga dan saya tidak akan malu untuk belajar daripada mereka. Islam ada ajarannya dalam perkara pergaulan dan pekerjaan, dan saya akan mengamalkan ajaran itu dalam konteks kerjaya saya.

Sekiranya saya diberikan pilihan, saya akan memilih untuk tidak naik pangkat sehingga 10 tahun.

Wallahua’lam.