Selasa, September 21, 2010

Islam sejagat, Melayu setempat..

Apa kelebihannya menjadi orang melayu?

Berbanding apa kehebatan menjadi orang Islam?

Semangat kaum biasanya berapi-api. Kelangsungan generasi dalam kaum menjadi keutamaan. Kaum kami perlu mendapat segala kelebihan yang ada. Semua penghalang, ancaman dan penyekat perlu dibasmi walau apa bayarannya sekalipun.

Semangat kaum menyaksikan keinginan untuk menguasai dan merasa selamat, walaupun terpaksa menjatuhkan satu kaum yang lain. Sekiranya perasaan selamat itu telah tiada, maka akan bermulalah tuduh menuduh, syak mengesyaki dan perbalahan. Konfrontasi dan ejek mengejek akan menjadi mainan. Lihat sahaja di dalam Internet..sampai agama juga dilibatkan dalam perbalahan antara kaum.

Sebab itulah perkauman tidak mungkin sama sekali boleh menjadi agen dakwah Islam. Kerana itulah agama Islam tidak tersebar ke pelusuk dunia di tangan bangsa arab secara kearaban. Yang kekal dalam Bahasa Arab adalah bacaan solat dan AlQuran. Merentas dunia, Islam berkembang dalam suasana persekitaran, dan dalam bahasa ibunda masing-masing.
Kerana itu jugalah negara maju tidak boleh ada semangat perkauman yang terlampau. Kerana semangat ini akan menyekat kemajuan. Menjadikan individu berpotensi dari kaum lain dimangsakan. Amerika mungkin contoh terbaik negara maju masakini. Siapa presidennya sekarang? Ingat tak, suatu masa dulu, kaum presiden tersebut adalah hamba...

Mengikatkan satu jenis kaum dengan agama adalah satu jalan selamat. Seperti mengikat melayu dengan Islam. Tapi hakikatnya ‘jalan’ sahaja yang selamat, tidak orangnya. Selamat dalam perundangan, dengan adanya larangan menukar agama secara terbuka. Tapi dalaman individu, adakah mampu disekat? Lama kelamaan mereka akan menjadi barah dalam masyarakat. Atau munafiq yang menghancurkan kaum dan agama sekali daripada dalam..

Selama mana kita mahu bergantung kepada undang-undang untuk survival agama kita? Yang diikat dengan bangsa kita? Sehinggakan masuk Islam bagi kaum lain disamakan juga dengan masuk melayu..Mana-mana orang Cina dan India masuk Islam, dinamakan mualaf selama hayatnya, memakai songkok dan baju melayu. Kenapa? Adakah jubah kungfu Wong Fei Hong dan kofiah cina tidak Islamik? Tidak sah sembahyang?

Masuklah Islam.

Bukan masuk melayu.