Rabu, Julai 27, 2011

Nasib Penjawat Awam dan Penguatkuasa

Persepsi merupakan satu senjata psikologi yang hebat dan mampu memberikan kesan terhadap kecenderungan seseorang apabila dimainkan berulang kali. Dalam politik, kedua-dua pihak sama ada Parti Pemerintah mahupun Pembangkang mempunyai kaedah tersendiri dalam membina persepsi. Biarlah ianya terkawal dalam ruang lingkup persaingan parti-parti politik. Secara profesionalnya, pegawai awam tidak terlibat dalam urusan politik sedemikian, selain daripada meneruskan agenda pembangunan dan dasar yang diputuskan Kerajaan sedia ada.

Sebulan dua ini penulis banyak berfikir mengenangkan nasib pegawai-pegawai Kerajaan yang bertugas di agensi-agensi penguatkuasa seperti PDRM, Imigresen, Kastam, JPJ, KPDNKK, SPRM dan lain-lain. Mereka merupakan tulang belakang yang sebenar kepada Malaysia. Dengan sumpah taat setia kepada YDP Agong, merekalah yang menjaga kestabilan negara ini dan memastikan situasi terkawal, aman tenteram. Ini membolehkan urusan-urusan kenegaraan berjalan lancar termasuklah pilihanraya setiap 5 tahun sekali.

Dalam Islam, urusan keselamatan dan kawalan ketenteraman ini merupakan salah satu kewajiban di bawah Fardhu Kifayah. Sesiapa yang mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya wajib melaksanakannya atas faktor melepaskan beban saudara-saudara seislam yang tidak mampu. Pegawai Polis, Imigresen, Kastam, JPJ dan lain-lain penguatkuasa telah berjasa kepada saudara muslim mereka yang lain dengan kesanggupan mereka memikul amanah tersebut. Sebagaimana kesanggupan mereka, maka menjadi kewajiban pemerintah pula untuk membayar khidmat mereka berdasarkan ketentuan-ketentuan kewangan Kerajaan sedia ada.

Akhir-akhir ini, suasana terlihat kurang stabil dengan kebanyakan pegawai penguatkuasa menjadi bahan bantaian sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan banyak perkara. Contohnya, isu dua orang yang meninggal dunia (dikatakan membunuh diri) menjadikan SPRM dikecam hebat dan laporan-laporan susulan dipertikaikan terutamanya oleh keluarga mangsa. Selain itu, heboh juga isu PDRM yang dikatakan mengawal situasi secara kekerasan semasa perhimpunan di KL dan juga isu pegawai Imigresen menangkap dan menghantar pulang seorang peguam ke negara asal kerana menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (melancong) untuk berceramah.

Pihak yang mempunyai persepsi negatif terhadap penguatkuasa perlu memastikan persepsi mereka adalah berfakta, sebagaimana yang diarahkan oleh agama. Umumnya, setiap perlakuan pegawai dalam menjalankan tugas adalah terkawal melalui Standard Operation Procedure (SOP) masing-masing. Selagi tindakan mereka mengikut SOP, mereka secara amnya tidak melakukan kesalahan. Sekiranya ada perlakuan terkeluar daripada SOP, Jabatan biasanya akan menjalankan siasatan untuk mengenalpasti sama ada tindakan pegawai adakah diakibatkan oleh kecuaian atau disengajakan. Sekiranya wujud unsur-unsur sedemikian, maka Jabatan akan mengambil tindakan tatatertib yang bersesuaian. Sekiranya siasatan menyatakan SOP yang digunapakai sudah tidak relevan, maka pindaan akan dibuat.

Secara peribadi, penulis agak bersedih dengan persepsi negatif yang cuba dituai sesetengah pihak terhadap penguatkuasa awam khususnya terhadap PDRM pasca demonstrasi. Perkataan-perkataan keras seperti anjing, pencacai, dsb amat tidak wajar diluahkan terhadap mana-mana agensi penguatkuasa yang hanya menjalankan tugas. Tidak dapat dinafikan ada perlakuan yang kelihatan ganas pada pandangan umum, tapi siasatan lanjut perlu dilakukan untuk mengenalpasti sama ada wujud unsur-unsur lain seperti provokasi dan ancaman. Pihak Berkuasa Tatatertib PDRM tentunya akan mengambil tindakan sekiranya pegawai mengambil tindakan tidak wajar dalam menangani pendemonstrasi.

Amat dikesalkan, sesetengah Muslim mencaci maki polis-polis beragama Islam menggunapakai bahasa kesat yang tidak wajar. Pengalaman peribadi seseorang individu yang merasakan dirinya dianiayai tidak menjadikannya satu hujah untuk menolak kebaikan mana-mana agensi penguatkuasa. Sekiranya wujud kesalahan di pihak PDRM, itu tidak menjadikan penganjur perhimpunan bebas daripada kesalahan sama sekali. Mereka juga perlu mengambil tanggungjawab sekiranya wujud provokasi sama ada disengajakan atau tidak daripada mana-mana peserta di bawah anjuran mereka. Penulis tidak ingin mempertikaikan kebebasan bersuara dan demonstrasi, tetapi sekiranya sesuatu perkara itu mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan, ia perlu dilihat dalam kaedah fiqh bagi memperincikan mudarat mana yang lebih besar. Sudah tentu dalam pandangan Penguatkuasa, huru-hara akan mendatangkan mudarat yang besar terhadap ketenteraman awam walaupun ia memberikan sedikit manfaat terhadap pihak pembangkang (dengan penayangan gambaran kekejaman Penguatkuasa Kerajaan).

Dalam era global sekarang ini, masyarakat yang berpendidikan akan menilai prestasi Kerajaan dan pembangkang dalam menangani sesuatu isu, sama ada profesional atau emosional. Profesional bermaksud rundingan, persidangan, memorandum yang diserahkan secara teratur, debat, pembentangan kertas kerja, dan penyampaian melalui siaran alternatif (internet, blog, dll). Televisyen dan akhbar telah lapuk dan tidak lagi menjadi rujukan utama. Persaingan secara ilmiah melalui media-media alternatif akan membuahkan hasil yang lebih baik dan mendidik masyarakat agat tidak terlalu emosi dalam menangani suatu isu. Masalahnya ada sesetengah individu yang tidak dapat bersabar dan mengharapkan hasil sesegera mungkin, sekaligus menggunakan kaedah yang menonjolkan emosi untuk mencapai hasrat.

Setiap muslim perlu berwaspada dan menjadikan negara ini sebagai keutamaan dalam mempertimbangkan apa-apa tindakan. Selain itu, sikap menghormati pandangan orang lain yang berteras ilmiah perlu ada pada setiap Muslim dan tidak terburu-buru mengecop mana-mana orang dengan pandangan berbeza sebagai sesat, khawarij, sekular, jahil dan banyak lagi. Penggunaan bahasa yang lembut, berlapik dan sopan akan menjadi dakwah yang lebih baik untuk menarik penyokong yang rasional dan berilmu berbanding bahasa kesat yang mungkin seronok didengar oleh orang-orang jahil.