Rabu, September 23, 2009

Kelahiran Yang Dinantikan – Rushdan; Sinar Ramadhan kami

Tanggal 12 September 2009 merupakan satu detik bersejarah dalam hidup penulis. Allah S.W.T. menaikkan lagi pangkat penulis daripada status seorang bayi (1979) – graduan tabika (1985) – graduan sekolah rendah (1992) – graduan sekolah menengah (1998) – graduan universiti (2004) – suami (2006) – dan akhirnya bapa (2009). AHMAD RUSHDAN BIN AHMAD ZULNASRI, hadiah paling berharga daripada Allah kepada kami suami isteri. Satu kenaikan pangkat yang tentunya diberikan ganjaran selain tanggungjawab yang semakin berat. Segenap kesyukuran penulis dan isteri panjatkan ke hadrat Ilahi atas kurnianNya, Alhamdulillah..

Kedudukan bayi sulung yang songsang menyebabkan kami bersetuju untuk pembedahan selaras dengan nasihat doktor bagi mengelakkan sebarang komplikasi. Pembedahan tersebut dijadualkan pada 15 September 2009 di hospital Kajang. Pada pagi 12 September 2009, penulis dan isteri berada di SMAPK jam 11.30 pagi kerana isteri ingin menyelesaikan beberapa urusan sebelum memasuki wad untuk bersalin caesarean. Tiba-tiba, isteri penulis terkejut melihat ada tompokan darah yang tidak pernah ada sebelum ini, dan kami terus bergegas cemas ke hospital Kajang.

Di hospital, isteri diperiksa oleh doktor yang bertugas sementara penulis mundar mandir di tempat menunggu. Selain penulis, dua orang lagi suami tiba menemankan isteri masing-masing untuk bersalin. Setelah hampir satu jam menunggu, penulis tidak dapat bersabar lagi dan terus masuk untuk mengetahui khabar isteri. Seorang doktor memaklumkan pembedahan akan dibuat pada hari itu juga dan penulis diminta menyelesaikan beberapa urusan berkaitan tempahan wad dan bayaran. Penulis berpeluang menemui isteri dan kami sama-sama berada di dalam keadaan berdebar-debar, tidak sabar tetapi takut, kerana ini merupakan satu detik yang amat dinantikan setelah tiga tahun mendirikan rumah tangga. Hanya doa yang mampu penulis iringkan kepada isteri memandangkan suami tidak dibenarkan berada di dewan bedah.

Pada pukul 3.40 petang, seorang jururawat keluar daripada dewan bedah, tersenyum sambil memandang penulis, ”awak Zulnasri?” ”Ya, saya..” Beliau menghulurkan kepada penulis seorang bayi yang amat putih bersih, dengan mata sedikit terbuka dan kelihatan amat comel. Tiada sebarang kata-kata yang mampu penulis ungkapkan selain syukur, dan syukur serta terima kasih kepada jururawat tersebut. Perasaan pada ketika itu agak sebak, tetapi penulis gagahkan jua untuk azankan bayi dan iqamat. Jururawat yang memerhati terus terseyum sebelum bertanya, ”Awak tak tengok dulu ke jantina budak tu?” Penulis sedikit kaget, dan terfikir ya tak ya pulak, kenapa tak tengok dulu, terus azan pula.. Biasalah, sebelum ini tak pernah tidak keruan macam ni. Bila dilihat, memang anak lelaki.. sebagaimana yang penulis rasakan sebelum ini. Alhamdulillah..

Penulis berpeluang bertemu dengan isteri pada pukul 6.00 petang. Setelah menyelesaikan beberapa urusan pakaian dan sebagainya, penulis terpaksa pulang ke rumah kerana masa melawat telah tamat. Esok hari, penulis bersama ibu mertua dan adik ipar menemani isteri bermula seawal 12.30 tengah hari sehinggalah waktu melawat tamat pada pukul 7.00 malam. Penulis agak kesal juga tidak dibenarkan menemani isteri sedangkan wad kelas 1 hanya seorang sahaja pesakit untuk satu bilik. Apa salahnya kalau suami ada bersama, paling tidak boleh sama-sama berkongsi cerita dan mengurangkan tekanan isteri yang terpaksa bersorangan menyesuaikan diri sebagai ibu baru. Mungkin kelahiran akan datang tidak lagi di hospital Kajang, tetapi sama ada hospital Putrajaya atau hospital swasta Islam, insya Allah. Isteri dibenarkan keluar wad pada hari ketiga apabila doktor mengesahkan ibu dan bayi sihat, dan kami pulang ke kampung isteri di Seremban, NS untuk berpantang.

Dugaan datang pada hari ketiga dan keempat apabila isteri mengalami masalah kekurangan susu sehingga menyebabkan bayi enggan menyusu dan banyak menangis. Ketika malam ketiga, Rushdan meraung-raung kerana lapar tetapi enggan menyusu kerana susu tidak keluar. Walaupun dipam, jumlahnya amat sedikit dan tidak berpadanan. kami agak tertekan memikirkan kemungkinan Rushdan sakit kerana kekurangan air dan susu. Pada masa itu, tiada susu formula di rumah, hari sudah lewat malam dan kami agak penat kekurangan tidur. Akhirnya, penulis mendapat idea untuk memberikan Rushdan air zam-zam yang kebetulan ada di rumah. Kerisauan tetap ada kerana bimbang sakit perut atau muntah, tetapi alhamdulillah, tidak ada apa-apa, sekurang-kurangnya hilang dahaga Rushdan walaupun masih memerlukan zat susu yang lain.

Esoknya penulis membelikan susu formula sebagai backup, tetapi nampaknya selera Rushdan terhadap susu tersebut mengatasi keinginannya untuk menyusu badan. Setelah tiga hari menggunakan susu tersebut, akhirnya penulis dan isteri mengambil keputusan memaksa Rushdan untuk menyusu badan dan tidak akan sama sekali memberikan susu formula lagi, sekurang-kurangnya dalam dua-tiga bulan ini. Langkah ini terpaksa diambil kerana bimbang susu badan isteri akan berkurangan apabila demand daripada bayi tidak ada. Lagipun, zat daripada susu ibu tidak mungkin dapat diganti oleh mana-mana susu formula di dalam dunia ini. Keputusan ini menimbulkan tentangan hebat daripada budak kecil yang nakal ini, macam memahami apa yang ibubapanya cuba buat. Rushdan kelihatan menimbulkan tekanan terhadap ibunya dengan menyusu sekerap 5-15 minit sekali, mungkin dengan harapan ibu akan mengalah dan kembali memberikannya susu botol yang diidam-idamkan..Alhamdulillah, isteri dengan sokongan penulis menguatkan semangat dan melayani karenahnya dengan sabar. Lama-kelamaan, ingatannya terhadap susu botol yang dahulunya amat disukai mula pudar, dan ketika ini, Rushdan semakin selesa menyusu dengan ibunya secara normal, dalam 1-2 jam sekali. Tempoh penyusuan juga semakin lama semakin stabil kepada 15-20 minit berbanding 3-5 minit pada awal-awal penyusuan dahulu.

Sekarang ini penulis terpaksa masuk kerja semula, tetapi Alhamdulillah, beberapa perkara seperti penyusuan, pemantauan klinik, tali pusat bayi dan pemakanan ibu telah di stabilkan. Setelah berfikir, penulis dapat mengambil beberapa iktibar seperti berikut:

1. Pastikan hospital yang dipilih membenarkan suami/penjaga untuk menemani isteri semasa dalam wad (kelas 1)

2. Pastikan isteri tidak berada di dalam tekanan atau berseorangan

3. Pastikan bayi menyusu badan sahaja, walaupun kerap atau dia tak mahu, tidak apa. Paksa dia dan jangan beralah, kadang-kadang budak ni macam pandai juga, nak susu yang sedap dan berperisa..

4. Tingkatkan amal ibadat (suami) dan mohon pertolongan daripada Allah untuk memudahkan urusan berkaitan kelahiran dan penjagaan selepas bersalin.

Rabbana Hab Lana Min Azwajina Wa Zurriyyatina Qurrata A'yun, Waj'alna lilmutaqina imama..
Wallahua’lam

Jumaat, September 11, 2009

Toleransi beragama – Isu Penentangan Pengalihan Rumah Ibadat; Ruang Dakwah yang Disempitkan

“Dan serulah (manusia) ke Jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan, dan pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka secara paling baik”

Surah An-Nahl – ayat 125

Dakwah merupakan kewajipan orang Islam. Tujuan utama dakwah adalah untuk melembutkan hati golongan non-muslim untuk mendekati dan menghayati ajaran Islam. Tetapi untuk menjadikan mereka muslim bukanlah tujuan utama, kerana kita yakin dan percaya hidayah itu hak mutlak Allah, dan kita sebagai hambaNya hanya melaksanakan suruhannya iaitu mengajak kepada kebaikan, dan mencegah daripada kemungkaran. Berapa ramai non-muslim yang mengetahui konsep dan ajaran Islam secara akademik dan berfakta seperti para professor pengajian orientalism di universiti-universiti barat, tetapi minda mereka menolak hakikat dan cuba mencari jarum-jarum kelemahan, semata-mata untuk menunjukkan Islam sebagai salah satu agama di samping agama-agama lain. Sekiranya ada non-muslim memeluk Islam kerana dakwah kita, itu adalah ketentuan dan hidayah daripada Allah semata-mata, manakala usaha kita akan diberkati dan diberikan pahala kerana melaksanakan dakwah,dan bukannya penyebab utama kepada keislaman mereka.

Apabila timbulnya isu penduduk di kawasan majoriti Islam yang menentang pembinaan rumah ibadat golongan bukan Islam, penulis cuba merungkai isu ini dari kacamata dakwah, bukannya politik. Apa yang penulis cuba pahatkan disini adalah kegagalan konsep dakwah oleh masyarakat Islam, yang terhasil daripada kegagalan segelintir umat Islam menerima wujudnya penganut agama lain yang mempunyai tanggungjawab agama mereka di kawasan kejiranan. Daripada carian di internet, penulis dapati kebanyakan alasan yang dikemukakan bersifat majority rules, minority must follow dan emotional driven. Rasional kawasan ini kawasan orang Islam dan tidak sesuai dibina rumah ibadat agama lain dilaung-laungkan tanpa mengambil kira dasar Islam itu sendiri terhadap hak-hak bukan Islam di sebuah Negara Islam. Hakikatnya, alasan ini adalah terkeluar daripada semangat toleransi beragama yang menjadi nadi dakwah Islam kepada non-muslim sekaligus menunjukkan seolah-olah masyarakat Islam merupakan golongan yang dikawal oleh emosi. Penentangan seperti kata-kata kesat, provokasi dan maki hamun tidak sama sekali diajar oleh Islam bahkan ia akan memburukkan nama Islam itu sendiri di mata golongan non-muslim. Tanpa sebarang sebab yang syar’i, sebenarnya Kerajaan wajib menyediakan apa-apa peruntukan dan keperluan penganut agama lain untuk beribadat menurut cara mereka. Sebagaimana kisah Muhammad Al-Fatih yang menguasai Konstantinople, baginda membenarkan pembinaan rumah ibadat Kristian sekiranya ada permohonan daripada masyarakat Kristian, dan memberikan biaya bahkan elaun pula kepada rahib-rahib Kristian. Penulis ringkaskan sahaja, sila rujuk kisah pembukaan Konstatinople untuk maklumat lebih lanjut.

Alasan kedua pula adalah lanjutan isu pembinaan rumah ibadat agama lain yang tidak terkawal. Hakikatnya itu merupakan satu isu lain yang tidak ada kena mengena dengan pembinaan rumah ibadat yang mengikut prosedur. Dalam konteks pentadbiran, ia merujuk kepada kegagalan institusi yang sepatutnya mempunyai kawalan terhadap urusan tersebut. Contoh paling mudah, sekiranya penjualanVCD/DVD haram dan lucah berleluasa, adakah wajar untuk dibantah apabila wujud permohonan membuka premis jualan CD/DVD secara sah. Jangan kaitkan isu beragama dalam perkara ini, kerana penulis yakin, mana-mana penganut agama yang memahami prosedur dan peraturan juga tentunya tidak bersetuju dengan apa-apa pembinaan rumah ibadat agama mereka secara haram. Apatah lagi kita sebagai muslim, pembinaan masjid perlu mengambil kira berbagai-bagai faktor seperti tanah yang diwakafkan, biaya pembinaan daripada sumber halal dan sebagainya.

Oleh itu, penulis berpendapat, isu ini tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Agama Islam sememangnya tidak memisahkan politik daripada agama, bahkan politik merupakan salah satu kaedah dakwah yang luas. Tetapi, menggunakan isu ini untuk mendapatkan ganjaran politik adalah tidak wajar kerana keagamaan merupakan isu yang sensitif, dan mempolitikkan keagamaan akan hanya membakar semangat penganut-penganut agama masing-masing. Pihak berwajib seperti institusi-institusi agama dan NGO-NGO agama perlu mengambil tindakan menerangkan berkenaan toleransi beragama yang sepatutnya diambil kira oleh muslim dan non-muslim. Apatah lagi ia melibatkan kaum-kaum yang berbeza, polemik ini berkemungkinan akan menjadi barah perkauman pula dengan menggunakan alasan-alasan agama. Dalam pada itu, dakwah menjadi sempit dan terbatas, seolah-olah Islam adalah melayu, manakala India adalah hindu dan cina adalah Buddhis…Apatah lagi sekiranya menggunakan provokasi menghina lambang kesucian agama lain, ia adalah haram, kerana mereka akan menggunakan alasan penghinaan itu untuk menghina Allah S.W.T. pula.

"Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan mereka (yang sebenar) lah kembalinya mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan."

Surah Al-An’am, Ayat 108

Wallahua’lam