Khamis, November 05, 2009

Dr Asri v/s Ustaz Zamihan; Satu Penilaian...

Pertembungan antara Dr. Asri dan Ustaz Zamihan telah lama saya ikuti, sejak saya masih menuntut di bumi UIAM lagi. Masih tergambar di fikiran saya sebuah buku berjudul "Salafiyah Wahabiyah Satu Penilaian" karangan Ustaz Zamihan yang kemudiannya mendapat kritikan keras Dr Asri melalui akhbar arus perdana. Pada masa itu saya merasa agak kesal kerana satu isu sensitif berkaitan isu wahhabi, salafi, khalafi dan sebagainya diwarwarkan kepada awam melalui akhbar. Habis keliru mat-mat rempit dan geng-geng berkot-bertali leher merah yang mungkin tidak pernah belajar dalil-dalil berkaitan cara mandi wajib pun! Hakikatnya, ia adalah perbalahan ilmiyah yang dalam, rumit dan tidak wajar sama sekali disensasikan.

Saya hairan, mengapa dua individu ini tidak pernah bertemu janji, bersua muka dan berbincang pendapat masing-masing secara berdepan. Walaupun saya mungkin dianggap ustaz kurang ilmu kerana berkelulusan Perbandingan Agama, satu pengkhususan Ilmu Wahyu daripada UIAM, saya masih berkemampuan untuk memahami bahawa apa yang diperbalahkan itu sebenarnya tidaklah melibatkan perbezaan aqidah dan tidak pula membatalkan syahadah. Kedua-duanya masih muslim bahkan kedua-duanya berpendidikan tinggi pula. Perbezaan yang wujud adalah dalam menetapkan kaedah memahami keesaan Allah dan khilaf sama ada boleh takwil atau tidak boleh beberapa perkara melibatkan ayat-ayat yang kabur maknanya (Mutasyabihat). Selain itu, terdapat perselisihan perkara-perkara furu’ yang boleh didiamkan sahaja demi kemaslahatan ummah.

Hari ini, perbalahan itu timbul lagi setelah Dr Asri ditangkap oleh JAIS. Ustaz Zamihan menggunakan status rasminya sebagai Penolong Pengarah ILIM untuk menambahkan rencah penangkapan tersebut, yang hakikatnya mendapat kritikan ramai pihak. Perlu difahami, jawatan penolong pengarah dalam pentabiran kerajaan adalah pada gred 41, yang mana tentunya ada ketua berjawatan pengarah yang lebih berautoriti untuk memberikan komen. Adalah lebih selamat Ustaz Zamihan mendiamkan diri seketika, tidak gopoh memberikan ulasan walaupun mungkin beliau sedikit gembira dengan penangkapan Dr Asri. Sekarang tidak pasal-pasal beliau tertanggung sama palitan cacian dan cemuhan dari semua pihak termasuk semua pemimpin parti politik. Biarlah JAIS sahaja yang menjawab persoalan berkaitan penangkapan tersebut, sekurang-kurangnya mereka ada asas penangkapan walaupun boleh dipertikaikan.

Akhir kata, tuan-tuan berdua adalah orang berilmu, janganlah sekadar berdebat dari jauh, hadirlah bertemu muka dan berbincang, semoga wujud di sana manfaat yang lebih besar untuk Islam. Insya Allah.

Tiada ulasan: