Rabu, Jun 30, 2010

Dilema seorang PTD

Sebagai seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik, saya merasa agak terasa hati apabila ada pihak-pihak tertentu membelasah skim ini semahunya. Perkara yang sering ditimbulkan adalah kenaikan pangkat, gaji besar kerja baru berapa tahun, kerja rilek, malas, sombong dan kurang berpengetahuan (tapi buat-buat tahu). Tidak dinafikan, sememangnya ada individu yang berperangai seperti yang didakwa. Bahkan ada rakan-rakan saya yang kelihatannya tidak sabar menunggu untuk kenaikan pangkat. Bila terserempak, itulah topik awal untuk perbualan.

Selaku lepasan aliran agama, saya tidak mahu memanjangkan hujah atau memperdebatkan persoalan ini. Segala yang berlaku adalah ketetapan Ilahi, dan telah tercatat di dalam Luh Mahfuz bahawa skim ini begitulah kedudukannya manakala skim lain pula kedudukannya berbeza. Saya telah ditakdirkan untuk menjadi PTD walaupun dalam senario asal, sepatutnya saya menjadi seorang ustaz. Bukannya saya tahu pun apa kelebihan PTD semasa mengisi borang SPA, saya letakkannya sebagai salah satu pilihan hanyalah kerana ia bersesuaian dan cukup syarat dengan kelulusan semasa yang saya ada.

Hakikatnya saya menghormati semua warga skim lain, seperti guru, pensyarah, kaunselor dsb. Saya merasakan kedudukan guru adalah lebih tinggi dan mulia daripada saya tidak kira apa gred seorang guru, kerana saya adalah hasil daripada didikan dan keringat seorang guru. Bahkan, apabila saya gagal dalam ujian awal KPLI-JQAF, saya merasakan sememangnya saya tidak layak menjadi seorang guru, dan saya lebih sesuai membuat kerja pentadbiran. Itulah ketetapan Ilahi. Dia Maha Mengetahui yang terbaik buat hambaNya.

Perbezaan gaji dan kenaikan pangkat mungkin memberikan kesan terhadap kewibawaan PTD, yang dilihat amat pantas melonjak ke pangkat tinggi sekaligus membezakan kedudukan gaji dengan pegawai skim lain yang berkhidmat dalam tempoh sama. Masalah kurang pengalaman, kurang pengetahuan dsb sering ditimbulkan dan bagi saya, ia adalah cabaran. Apa yang penting, saya menghormati semua kakitangan terutamanya yang lebih tua, dan tidak melayan mereka seperti orang bawahan. Pengalaman mereka amat berharga dan saya tidak akan malu untuk belajar daripada mereka. Islam ada ajarannya dalam perkara pergaulan dan pekerjaan, dan saya akan mengamalkan ajaran itu dalam konteks kerjaya saya.

Sekiranya saya diberikan pilihan, saya akan memilih untuk tidak naik pangkat sehingga 10 tahun.

Wallahua’lam.

Tiada ulasan: