Selasa, November 25, 2008

YOGA...ALAHAI YOGA..

Ramai lagi yang masih belum jelas mengenai fatwa pengharaman yoga.

Apa yang ditegaskan dalam fatwa berkenaan adalah pengharaman khusus kepada orang Islam untuk mengamalkan tatacara yoga berdasarkan agama hindu yang merangkumi dua elemen seperti di bawah:

1. amalan fizikal yoga,
2. unsur-unsur keagamaan (mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya penyatuan diri dengan tuhan)

Oleh itu, pengharamannya bukanlah secara total seperti yang difahami oleh masyarakat. Terdapat satu klausa dalam fatwa berkenaan seperti yang dipaparkan oleh JAKIM di alamat http://www.islam.gov.my/portal/yoga_Bm.php iaitu:

‘Sementara pergerakan amalan fizikal tanpa unsur-unsur di atas yang dilakukan pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan. Namun demikian, masyarakat Islam dingatkan wajib berhati-hati dan berwaspada dari perkara-perkara yang boleh menghakis akidah seseorang muslim. ‘

Sementara saya sendiri tidak pernah bersenam gaya yoga, dan tidak pula mengetahui bentuk-bentuk gerakan di dalamnya, saya tidaklah berautoriti untuk mengulas panjang lebar. Apa yang ingin dinasihati disini adalah seperti berikut:

1. Bagi non-muslim, anda tidak layak mempertikaikan fatwa yang khusus kepada orang Islam.
2. Bagi orang Islam, anda boleh membahaskannya tetapi tidak perlu membuat perbincangan secara terbuka. Memadai secara tertutup dengan orang Islam yang lain.
3. Tidak perlu ada individu yang ingin menjadi champion dengan mempertikaikan fatwa ini di dada-dada akhbar atau media massa.
4. Bagi orang Islam yang mampu berijtihad, mungkin mereka ada pandangan lain. Tetapi tidak wajar untuk mewarwarkan pandangan secara terbuka yang menyalahi keputusan Jawatankuasa Fatwa selaku badan paling berautoriti di Malaysia untuk mengeluarkan fatwa berkaitan orang Islam.
5. Bagi pengusaha pusat senaman yoga, cubalah kaji semula senaman anda atau dapatkan pandangan JAKIM berkenaan cara-cara untuk membolehkan pusat anda tetap beroperasi seperti biasa tanpa melanggar fatwa.
6. Sekiranya ingin bertukar kepada senaman lain, cubalah buat senaman harimau (Silat gayung), senaman aerobik, senaman jogging, tarik nafas panjang-panjang.. paling tidak jaga solat lima waktu. Gerakan solat pun dikira menenangkan juga..kenapa perlu yoga?
Fikir-fikirkanlah…

Tiada ulasan: