Rabu, Disember 17, 2008

Antara durian runtuh dan tanah runtuh

Seorang rakan yang mendapat tawaran jawatan Pegawai Tadbir Negeri (Pengurusan dan Profesional) menceritakan bahawa sebaik sahaja dia menerima jawatan tersebut, wakil Kerajaan negeri sudah berjanji yang Sultan akan menganugerahkan tanah dalam dua-tiga ekar kepada beliau. Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama, beliau mendapat tawaran jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik peringkat persekutuan, lantas mengambil keputusan menolak tawaran negeri dan memilih tawaran persekutuan. "Langkah kaki saya lebih luas, dan lebih senang naik pangkat. Lagipun kalau setakat dapat tanah lereng bukit di Gua Musang nak buat apa?" Kata beliau. Saya terfikir, Sayang juga, yalah, siapa nak bagi tanah free, itu durian runtuh namanya. Mana tahu suatu hari nanti Kerajaan negeri memutuskan untuk membangunkan Gua Musang sebagai Ibu Negeri Kelantan (Macam Putrajaya sekarang), dah tentu beliau menyesal!

Gua Musang? Lereng Bukit? Tanah Tinggi? Pembangunan? Fikir dahulu…

Ada seorang individu pernah bekerja sebagai Pembantu Pelanggan di Stesen Minyak Shell Jalan Ampang, MRR2, sekitar sepuluh-dua puluh meter sahaja daripada susur masuk ke Bukit Antarabangsa. Beliau pernah – pada masa lapang – menunggang motor Honda C70nya memanjat Bukit berkenaan, memang tinggi, sejuk dan curam. Terpaksa guna gear dua kadang-kadang gear satu. Melihat keadaan rumah-rumah banglo dan perumahan elit di kawasan berkenaan, beliau merasa agak segan sekiranya terserempak dengan penduduk atau warga Bukit Antarabangsa. Mesti wujud syak wasangka yang beliau nak mencuri ke, nak melihat-lihat rumah kosong ke untuk pecah masuk. Terus beliau corner baring semula turun ke bawah menuju ke tempat golongan marhaen – asrama untuk pekerja Shell Jalan Ampang. Jalannya yang curam, adalah kurang sesuai kepada pemilik-pemilik kenderaan seperti motosikal berkuasa rendah, Kancil dan Proton Saga untuk berulang-alik. Lainlah kalau kereta Honda Civic, Mercedes Benz dan Toyota Fortuner. Melihatkan kereta saja, dah tentu sepintas lalu sahaja kita dah dapat mengenalpasti status pemilik rumah di kawasan ini.

Sememangnya rumah banglo di atas bukit melambangkan status, gaya dan kemegahan, dengan hillview yang indah dan menawan, udaranya yang segar dan ketenangan yang merehatkan minda. Sesuai untuk individu-individu korporat berusia lewat lima puluhan yang bercadang untuk bersara dan berehat di hari tua. Bayangkan kehidupan ini: Pagi-pagi selepas subuh (kalau sembahyang), terus berjogging santai di laluan-laluan pejalan kaki yang dingin, kemudiannya pulang kerumah untuk berehat, sarapan pagi dan ber chit chat suami isteri mengenangkan cerita suka duka lampau. Kemudiannya membaca akhbar di ruang beranda dengan angin sepoi-sepoi bahasa, akhirnya terlena di atas kerusi malas. Bangun tidur, makan tengah hari, menonton televisyen, bergelak ketawa dengan lelucon The Nanny, atau Mr. Bean. Petangnya berjalan-jalan di taman atau berkebun di belakang rumah, menanam bunga-bungaan sambil mengeluarkan peluh untuk kesihatan. Malamnya makan malam, menonton berita, berborak-borak dan… tidur. Alangkah tenangnya hidup di dunia tinggi. Wang tiada masalah, anak-anak semua berjaya kaya raya.

Itu cerita dahulu. Rasanya mentaliti masyarakat berduit sudah mula berubah. Sekarang rumah di cerun bukit, di kawasan tinggi dilihat menakutkan, mengancam nyawa dalam jangka masa panjang dan tidak berbaloi untuk sebuah rumah berharga jutaan ringgit yang sepuluh – dua puluh tahun kemudiannya runtuh menyembah bumi tanpa sebarang perlindungan insurans. Apatah lagi ia melibatkan ancaman nyawa terhadap orang tersayang, seperti yang berlaku di Bukit Antarabangsa seminggu dua ini. Sehingga hari ini pun, situasi masih tidak stabil, dengan tanah masih runtuh, dan hujan yang turun kelihatan membantu proses ini. Kita melihat di kaca televisyen, penduduk-penduduk yang mengalami bencana tersebut amat tertekan dan antaranya sudah hilang sabar, menjerit dan memaki wakil rakyat, membuat laporan polis, mengemukakan saman terhadap PBT dan sebagainya.

Hakikatnya mereka sedang diuji. Dahulunya dengan kesenangan, sekarang dengan kesusahan.

Mungkin kita boleh muhasabah diri, apakah semasa kita diuji dengan kesenangan dahulu, kita ingatkan Tuhan yang telah mengurniakan kesenangan itu? Dan sekarang ini, dengan kesusahan pula, adalah terlintas di hati kita bahawa ini ujian Tuhan? Sukar untuk kita bayangkan kesusahan yang akan tiba apabila selama bertahun-tahun diliputi dengan kesenangan dan kemewahan. Mungkin tidak pernah terlintas di hati kecil pun bahawa Allah akan mengambil balik apa yang diberi olehNya – dalam tempoh tidak sampai setengah jam..

“Kepunyaan Allah segala apa yang ada di langit dan di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati atau kamu sembunyikannya, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendakiNya dan menyiksa siapa yang dikehendakiNya. Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
(Surah Al-Baqarah Ayat 284)

Moral:
Zaman sekarang, Kalau nak beli rumah atas bukit, kena pastikan dulu iman dah kuat, sembahyang tak tinggal, zakat bayar, taat pada orang tua, tidak berbohong, rezeki daripada sumber halal, buat benda-benda baik dan tinggalkan benda-benda jahat serta sentiasa bersedia untuk mati. Yalah, tiada siapa tahu pada waktu lena di dinihari tiba-tiba Allah goncangkan sedikit bukit, rumah kita pun runtuh menyembah bumi. Sama-samalah kita sediakan payung sebelum hujan dan sediakan amal sebelum mati..

Tiada ulasan: