Rabu, Disember 10, 2008

Teknologi dan Jenama: Keperluan atau kehendak?

Pada pertengahan bulan November 2008 yang lepas, seorang jejaka dihadiahkan seutas jam tangan berjenama crocodile dan sebuah telefon bimbit Nokia 3110 Classic oleh isterinya sempena ulang tahun kelahirannya. Jam tersebut, bersalut perak bertali besi dengan kapasiti ketahanan tekanan air (water resistant bukan waterproof) sedalam 30 meter adalah model analog, dengan jarum berwarna perak dan mempunyai sistem calendar default 31 hari sebulan (kalau bulan yang ada 30 hari, terpaksa di adjust sedikit). Telefon pula merupakan model tahun 2008, housing plastik berwarna hitam pekat, skrin berwarna dengan abiliti SMS, MMS, Video messaging, Email, Internet-GPRS, perakam suara, kamera/Video Recorder 1.3 MP dan kapasiti 1Gb mini SD card (boleh di upgrade). Ini merupakan peningkatan daripada model lama yang tiada warna dan tiada apa kecuali boleh bercakap dan boleh SMS.

Teknologi

Minat yang mendalam terhadap teknologi boleh menjadikan seseorang itu selangkah ke hadapan berbanding orang lain. Dikala orang lain masih menghantar SMS teks, beliau boleh berbangga dengan MMS yang disertakan gambar, video dan suara sekali. Dikala orang menyambung streamyx/ terpaksa ke Cyber Cafe untuk membuka email, beliau boleh membuka yahoo mail nya daripada handphone sahaja. Mudah bukan!

Sesetengah orang berpendapat, apa perlunya semua teknologi ini? Kenapa perlu membazir sedangkan apa yang penting hasrat berkomunikasi tercapai. Belilah teknologi sekadar keperluan sahaja, sekiranya tiada keperluan, maka biarkanlah. Tertinggal atau ketinggalan zaman tak apa, datuk nenek zaman dahulu pun boleh hidup tanpa telefon, elektrik dan air paip. Saya mempunyai pendapat yang kontras. Memang dipersetujui, teknologi bukanlah keperluan dalam hidup, tetapi ia merupakan alat untuk membolehkan kita hidup dengan lebih berkualiti dan meminimumkan perkara-perkara leceh. Sebagai contoh, Mesin basuh automatik lebih mudah dan menjimatkan masa berbanding mesin basuh separa auto, yang tentunya lebih menjimatkan masa dan tenaga berbanding membasuh menggunakan tangan. Vacuum Cleaner pula boleh meminimumkan habuk yang berterbangan berbanding penyapu sekaligus merupakan alat yang berkualiti bagi pesakit asma. Begitu juga dengan telefon bimbit. Tentunya dengan fungsi yang lebih meluas, saya dapat berkomunikasi dengan lebih berkualiti berbanding menggunakan telefon biasa. Bahkan dengan sistem storan yang luas, saya dapat menyimpan apa-apa data atau maklumat yang penting di dalam telefon untuk digunakan kelak. Cuma perlulah rajin belajar dan kreatif bagi mengelakkan membeli barang mahal sia-sia sahaja – tak pandai nak guna..
Kesimpulannya, teknologi adalah keperluan masa kini.

Jenama

Berdasarkan pengalaman pendek saya, barangan berjenama, sekalipun agak mahal, tapi kualitinya adalah terjamin. Teringat waktu dahulu, hobi saya adalah membeli jam berharga RM10 di pasar malam. Kebiasaannya, jam tersebut akan bertahan dalam tempoh dua – tiga bulan sahaja sebelum menjadi watak sedih ‘aku sebuah jam’. Berbanding sekarang, jam American Polo yang menjadi hantaran kahwin masih lagi kekal bernyawa dan cantik walaupun 2 tahun telah berlalu. Hanya tali jam sahaja yang rosak akibat kerap terkena alkali peluh pergelangan tangan yang mengakis.

Kesimpulannya, andaikata mampu, apa salahnya membeli barangan seperti jam, pakaian dan sebagainya yang berjenama sekadar keperluan, bukannya memenuhi kehendak diri. Perasaan teragak-agak semasa mengeluarkan belanja akan terbayar setelah kita dapat menggunakannya dalam tempoh yang lama. Sebuah jam yang berharga RM10 untuk tiga bulan, sepintas lalu memanglah murah, tetapi sebenarnya lebih mahal berbanding jam yang berharga RM100 dan digunakan sehingga tiga tahun (atau lebih).
Fikir-fikirkanlah…keperluan atau kehendak?

Tiada ulasan: