Isnin, April 27, 2009

Ya Allah, Selamatkan kami...

“Maha suci Allah yang telah mengawalkan (kenderaan) ini untuk kami, sedang kami tidak menguasainya, dan sesungguhnya kepada Tuhan kami jualah kami kembali”

Doa tersebut adalah bacaan kita untuk satu perjalanan dengan sebuah kenderaan, yang kita harapkan daripadanya keselamatan, keberkatan dan perlindungan sepanjang perjalanan. Selama penulis berkelana di jalanan dengan sebuah Proton Saga yang dibeli pada Jun 2005, tidak terkira berapa banyak kali doa tersebut dibaca. Apa yang pasti, ianya telah menjadi satu tabiat, sebaik sahaja membuka pintu, Bismillah pasti terbisik dengan automatik, manakala doa di atas akan diungkapkan setelah penulis menutup pintu kereta dengan harapan mendapat keselamatan daripada bencana dan kemalangan.

Tetapi, pada Mac 2009, penulis ditimpa juga kemalangan. Tidak teruk, dan tiada kecederaan, tetapi kereta terpaksa masuk bengkel selama satu bulan. Sesetengah sahabat berkata yakin, “kau mesti tak baca doa ni, kalau tak mesti tak eksiden”, Penulis agak terdiam, dan berfikir, tak mungkin doa tidak dibaca. Minda sudah disetkan secara automatik untuk baca doa apabila masuk kereta..

Adakah doa semestinya menyelamatkan kita daripada semua bencana?
Adakah orang yang tidak membaca doa akan ditimpa bencana?
Apakah fungsi doa itu sebenarnya?

Kepada sahabat yang tadi, penulis cuma berkata; “Alhamdulillah, aku baca doa. kalau aku tak baca tadi, mesti teruk punya eksiden, tah tah aku koma sebulan”

Jawapan tadi adalah atas kesedaran penulis, bahawa doa tidak semestinya melindungi kita daripada semua kesusahan, kerana Allah lebih mengetahui hikmah disebalik kesusahan yang menimpa. Mungkin ianya adalah ujian, dan ujian yang dihadapi dengan kemalangan kecil seperti yang menimpa penulis adalah satu rahmat, kerana mungkin penulis tidak mampu menghadapi dugaan yang lebih besar. Mungkin Allah menukarkan taqdir yang awal (bencana besar) kepada satu taqdir yang lain (bencana kecil) atas faktor doa, dan kita tidak tahu..kerana dalam pengajian aqidah, percaya kepada qadha dan qadar adalah satu rukun iman. dan qadha itu terbahagi dua; Qadha mubram (ketentuan yang tidak berubah seperti mati dan lahir) dan qadha mu’allaq (satu ketentuan yang boleh berubah dengan izin Allah).

Kita teruskan sahaja berdoa untuk apa saja. Insya Allah selamat dunia dan akhirat. Wallahua’lam.

Tiada ulasan: