Khamis, April 23, 2009

Berblog; Jangan blok minda anda!

Dalam satu perbincangan berkenaan fungsi internet dan kesannya terhadap masyarakat, seorang teman meluahkan rasa kurang senang terhadap sesetengah penulis blog yang dilihat cuba menonjolkan kehidupan peribadi dan aktiviti sendiri. Alasannya, ia membuka ruang untuk ‘ujub dengan kehebatan diri serta boleh mendorong diri untuk melakukan kebohongan dengan mewarwarkan kehebatan dan melindungi kelemahan. Mungkin ada betulnya apa yang dibangkitkan, tetapi hakikatnya, sekiranya difikirkan dengan teliti, bukanlah ianya secara total akan menimbulkan kesan tersebut. Pada hemat penulis, pengkritik tersebut perlu memikirkan beberapa perkara terlebih dahulu sebelum mencapai satu rumusan bahawa penulisan bersifat peribadi boleh menimbulkan ‘ujub iaitu:

1. Pengarang blog tidak pernah memaksa sesiapa untuk membaca blog mereka. Sekiranya rasa suka, teruskan membaca, sekiranya rasa meluat, sasarkan cursor kepada bahagian atas sebelah kanan, dan klik pada kotak pangkah. Tak perlu membebel dan merepek, nanti jatuh mengumpat, kan sia-sia pahala awak;

2. Seorang muslim digalakkan menyebarkan kebaikan terutamanya yang ada pada dirinya untuk dicontohi oleh orang lain. Contohnya, seseorang yang bersedekah, sekiranya dia menunjukkan sedekahnya pada orang lain, dan dicontohi pula, maka dapatlah pahala berganda. Begitu juga menonjolkan usaha diri sendiri untuk membolehkan orang lain mencontohi (seperti yang dipostkan oleh Ustaz Zaharuddin di blognya), dan menunjukkan skill yang kita ada untuk diajar kepada orang lain. Apapun, ia bergantung pada niat sebenar, dan niat bukanlah hak kita untuk mempersoalkannya;

3. Dalam Islam, tiada unsur generalization terhadap hukum sesuatu perkara. Segalanya perlu diperincikan supaya hukum yang diputuskan adalah khusus terhadap perkara tersebut. Contohnya, hukum haram menyanyi, adakah semua nyanyian haram? nasyid juga adalah satu unsur nyanyian, adakah ia haram? Memang ada individu yang mengharamkannya, tetapi biarlah ia jadi hukum peribadi beliau, bukannya hukum rasmi Islam. Jadi, janganlah menghukum secara total semua blog berunsur aktiviti peribadi adalah salah. yang penting, jangan berbogel dalam blog, jangan posting lucah dan jangan mengumpat/memfitnah.

Setelah perbahasan panjang lebar, nampaknya teman tersebut bersetuju. atas faktor gaya bahasa yang digunakan penulis tidaklah ganas, lemah lembut dan tidak emosional, maka ia membuka ruang kepada perbincangan yang harmoni. Alhamdulillah, walaupun tiada dalil-dalil hebat yang digunapakai, hanya hadis (Sesungguhnya segala amal itu bermula dengan niat..), kami berjaya mencapai satu kesimpulan; berbloglah wahai orang-orang Islam yang mampu, sesungguhnya jalan dakwah dan kebaikan itu ada pelbagai, dan blog adalah salah satu jalan dakwah paling mudah. Sebarkan kebaikan dan keharmonian, dan janganlah kita hanya memberikan ruang kepada para pendosa dan pelucah menguasai medan blog.

Wallahua’lam.

Tiada ulasan: