Khamis, April 30, 2009

Aqidah Islam; Siapakan yang betul betul 'benar'?

“Kamu Wahabi! Kamu sesat!”
“Kamu totok mazhab! Sempit!”
“Aqidah kamu bercelaru, ilmu kalam dah menyesatkan kamu!”
“Kamu salah! Masuk neraka!”
“Tak ikut kami kamu sesat dan jahil!”
“Ini bukti kamu sesat…Syeikh ini kata ini..ini..”

Kadang-kadang saya merasa hairan, apabila menelusuri laman-laman sesawang di alam siber, terlalu ramai orang sedang ‘berdebat’ di dalamnya (tanpa berhadapan) dengan keberanian yang amat luar biasa. Menggunakan kata-kata yang keras, mengancam dan penuh yakin. hujjah-hujjah yang digemburkan penuh dengan kekuatan yang seolah-olah maksum daripada kesilapan. Manakala lawannya pula menangkis dengan penuh perkasa, berhujjah seolah-olah Al-Quran dan Hadith ada di dalam minda, tiada yang salah melainkan benar belaka. Mengancam dan menuduh seolah-olah lawan masing-masing bukannya Islam, tetapi seorang manusia yang sedang sesat di dalam kekafiran. Menggunakan nama-nama samaran yang hebat, seolah-olah diri seorang pejuang Islam yang berani dan megah mempertahankan Agama Allah yang suci. Satu blog menyatakan hitam, manakala satu lagi bermati-matian mengatakan putih. Disana seolah-olah tiada jalan pertemuan, mahupun simpang yang kecil yang boleh menemukan keduanya bagi mencari secebis persamaan, disebalik ‘gergasi’ perbezaan yang nyata.

Anehnya kebanyakan yang diperdebatkan melibatkan aqidah, seolah-olah begitu mudah aqidah Islam ini terlucut daripada jiwa pemakainya. Hanya dengan tidak membenarkan satu pihak, otomatik menjadi non muslim. Manakala sebelah pihak lagi menjadi bukan Islam pada pandangan pihak lawannya. Akhirnya, kedua-dua pihak bukan lagi Islam, menjadikan jumlah manusia yang diiktiraf sebagai muslim semakin berkurangan hari demi hari; ditakfirkan di dalam internet semudah menekan kekunci ‘num lock’ atau mencabut plug elektrik komputer…Kadang-kadang saya rimas, dan membayangkan kalaulah saya tidak belajar agama dahulu, mungkin saya akan menjadi kurang siuman memikirkan yang diri ini sudah sesat, terkeluar daripada Islam, walau ke manapun saya berpihak! Itu belum masuk bab politik, fiqh, muamalat..

Adakah tiada titik pertemuan? Ataupun setitik persamaan? Memang mudah dan selesa berkata-kata di dalam blog, tiada orang yang boleh menghalang, dan sebarang komen boleh didelete. Tetapi apabila ia melibatkan agama Allah, bertanggungjawab dan berhati-hatilah. Janganlah kita terlalu berani berfatwa dan akhirnya mengkafirkan saudara-saudara seislam yang lain.

Rukun Iman : percaya kepada Allah, malaikat, kitab, rasul, hari qiamat, qadha dan qadar.
Rukun Islam: Mengucap dua kalimat syahadah, solat lima waktu, berpuasa di Ramadhan, menunaikan zakat, menunaikan fardhu haji.

Apapun perbezaannya, janganlah kedua-dua rukun ini kita berbeza. Insya Allah.

Wallahua’lam….

Tiada ulasan: