Selasa, Mei 26, 2009

Dakwah : Ke mana hala tuju 'ustaz' ?

Seorang lelaki muslim wajib menjaga dirinya daripada sebarang fitnah wanita dan tidak sewenag-wenangnya membiarkan sebarang fitnah / gossip menjadi-jadi. Langkah mendiamkan diri atau menyerahkan kepada Allah semata-mata tidak menyelesaikan masalah, bahkan makin menimbulkan syak wasangka di kalangan orang ramai kerana itulah fitrah kebanyakan manusia - untuk mengambil tahu. Sekiranya gagal mengambil tahu daripada empunyai diri, segala maklumat akan cuba digali.

Kisah seorang ustaz ‘Rock’ yang diminati sejak dahulu sehingga sekarang amat meresahkan hati para peminat-peminatnya yang cuba mempertahankan imej keislaman beliau. Pengedaran gambar beliau di internet bersama-sama seorang rakan artis lain dan individu-invdividu yang tidak berpakaian sopan tambah mengharu birukan keadaan. Agak malang buat ustaz ini, yang telah mendedahkan diri beliau kepada fitnah atas nama dakwah mengikut kefahamannya sendiri. bahkan respon daripada beliau yang lebih ‘tidak mejawab persoalan’ tetapi cuba ‘menyerahkan kebenarannya kepada Allah’ merupakan satu respon yang dikhuatiri tidak jujur dan lebih bertujuan mengharapkan orang ramai akan mendiamkan diri.

Dakwah merupakan kewajipan umat Islam, tetapi setiap jalan dakwah ada hadnya. Sama seperti makan, minum, berpakaian, semua ada hadnya yang ditetapkan oleh Allah. Makan perlu berpada, tidak terlalu kenyang sehingga memudaratkan. Berpakaian biarlah berpada dan menutup aurat, tidak terlalu tebal sehingga kepanasan, dan tidak terlalu nipis seperti tidak berpakaian. Bagi muslim yang memutuskan untuk berdakwah melalui industri hiburan, mereka perlu lebih berhati-hati dan menjaga diri untuk mengelakkan fitnah. Amat menyedihkan, kebanyakan pendakwah hiburan ternyata hanyut dengan arus glamour dan khayalan, wanita cantik dan pergaulan bebas, yang akhirnya menjejaskan imej mereka sendiri. Sedangkan Allah telah berfirman : ‘Janganlah engkau mencampakkan dirimu ke arah kebinasaan’, Al Baqarah: 195.

Pendakwah hiburan yang terlalai ini seolah dengan sengaja mencampakkan diri mereka ke arah kebinasaan; membinasakan imej mereka, jatidiri dan keluarga mereka jua. Kita tidak mengadili persoalan rumah tangga mereka, tetapi jauh dilubuk hati, kita tetap akan mengadili tanpa sedar, dan tidak daapt menahan diri kita daripada menimbulkan perasaan berpihak kepsda mana-mana inidivdu yang terlibat apabila ia disensasikan.

Pada kefahaman penulis, semua bidang ada jalan dakwah masing-masing, dan semua muslim yang berjaya membawa kebaikan pada bidang yang dia ceburi adalah orang yang berjaya dalam dakwahnya. (dakwah bil hal).

(i) Seorang guru adalah pendakwah, dan kejayaannya dinilai pada anak-anak muridnya yang berjaya dalam akademik serta akhlaq.
(ii) Seorang posmen adalah pendakwah, dan kejayaan dakwahnya adalah penyerlahan amanah dirinya yang menyampaikan surat-surat yang dihantar tepat kepada penerima pada masa yang sesuai.
(iii) Seorang penjual kuoey teow adalah pendakwah yang berjaya apabila berniaga dengan jujur dan menjual makanan yang bersih lagi halal sahaja kepada pelanggannya.
(iv) Seorang pegawai adalah pendakwah yang berjaya apabila mengelakkan semua rasuah dan salahguna kuasa sedangkan ia mampu melakukannya.
(v) Seorang ahli politik adalah pendakwah yang berjaya apabila menampilkan imej yang jujur, tawadhuk dan menjadikan dirinya sebagai contoh dalam amar maaruf nahyu munkar.
Sama-samalah kita berdakwah ke jalan Allah!

Tiada ulasan: