Khamis, November 12, 2009
Nak Ikut Jalan Mana?
Khamis, November 05, 2009
Dr Asri v/s Ustaz Zamihan; Satu Penilaian...
Pertembungan antara Dr. Asri dan Ustaz Zamihan telah lama saya ikuti, sejak saya masih menuntut di bumi UIAM lagi. Masih tergambar di fikiran saya sebuah buku berjudul "Salafiyah Wahabiyah Satu Penilaian" karangan Ustaz Zamihan yang kemudiannya mendapat kritikan keras Dr Asri melalui akhbar arus perdana. Pada masa itu saya merasa agak kesal kerana satu isu sensitif berkaitan isu wahhabi, salafi, khalafi dan sebagainya diwarwarkan kepada awam melalui akhbar. Habis keliru mat-mat rempit dan geng-geng berkot-bertali leher merah yang mungkin tidak pernah belajar dalil-dalil berkaitan cara mandi wajib pun! Hakikatnya, ia adalah perbalahan ilmiyah yang dalam, rumit dan tidak wajar sama sekali disensasikan.
Saya hairan, mengapa dua individu ini tidak pernah bertemu janji, bersua muka dan berbincang pendapat masing-masing secara berdepan. Walaupun saya mungkin dianggap ustaz kurang ilmu kerana berkelulusan Perbandingan Agama, satu pengkhususan Ilmu Wahyu daripada UIAM, saya masih berkemampuan untuk memahami bahawa apa yang diperbalahkan itu sebenarnya tidaklah melibatkan perbezaan aqidah dan tidak pula membatalkan syahadah. Kedua-duanya masih muslim bahkan kedua-duanya berpendidikan tinggi pula. Perbezaan yang wujud adalah dalam menetapkan kaedah memahami keesaan Allah dan khilaf sama ada boleh takwil atau tidak boleh beberapa perkara melibatkan ayat-ayat yang kabur maknanya (Mutasyabihat). Selain itu, terdapat perselisihan perkara-perkara furu’ yang boleh didiamkan sahaja demi kemaslahatan ummah.
Hari ini, perbalahan itu timbul lagi setelah Dr Asri ditangkap oleh JAIS. Ustaz Zamihan menggunakan status rasminya sebagai Penolong Pengarah ILIM untuk menambahkan rencah penangkapan tersebut, yang hakikatnya mendapat kritikan ramai pihak. Perlu difahami, jawatan penolong pengarah dalam pentabiran kerajaan adalah pada gred 41, yang mana tentunya ada ketua berjawatan pengarah yang lebih berautoriti untuk memberikan komen. Adalah lebih selamat Ustaz Zamihan mendiamkan diri seketika, tidak gopoh memberikan ulasan walaupun mungkin beliau sedikit gembira dengan penangkapan Dr Asri. Sekarang tidak pasal-pasal beliau tertanggung sama palitan cacian dan cemuhan dari semua pihak termasuk semua pemimpin parti politik. Biarlah JAIS sahaja yang menjawab persoalan berkaitan penangkapan tersebut, sekurang-kurangnya mereka ada asas penangkapan walaupun boleh dipertikaikan.
Akhir kata, tuan-tuan berdua adalah orang berilmu, janganlah sekadar berdebat dari jauh, hadirlah bertemu muka dan berbincang, semoga wujud di sana manfaat yang lebih besar untuk Islam. Insya Allah.
Rabu, September 23, 2009
Kelahiran Yang Dinantikan – Rushdan; Sinar Ramadhan kami
Tanggal 12 September 2009 merupakan satu detik bersejarah dalam hidup penulis. Allah S.W.T. menaikkan lagi pangkat penulis daripada status seorang bayi (1979) – graduan tabika (1985) – graduan sekolah rendah (1992) – graduan sekolah menengah (1998) – graduan universiti (2004) – suami (2006) – dan akhirnya bapa (2009). AHMAD RUSHDAN BIN AHMAD ZULNASRI, hadiah paling berharga daripada Allah kepada kami suami isteri. Satu kenaikan pangkat yang tentunya diberikan ganjaran selain tanggungjawab yang semakin berat. Segenap kesyukuran penulis dan isteri panjatkan ke hadrat Ilahi atas kurnianNya, Alhamdulillah..
Kedudukan bayi sulung yang songsang menyebabkan kami bersetuju untuk pembedahan selaras dengan nasihat doktor bagi mengelakkan sebarang komplikasi. Pembedahan tersebut dijadualkan pada 15 September 2009 di hospital Kajang. Pada pagi 12 September 2009, penulis dan isteri berada di SMAPK jam 11.30 pagi kerana isteri ingin menyelesaikan beberapa urusan sebelum memasuki wad untuk bersalin caesarean. Tiba-tiba, isteri penulis terkejut melihat ada tompokan darah yang tidak pernah ada sebelum ini, dan kami terus bergegas cemas ke hospital Kajang.
Di hospital, isteri diperiksa oleh doktor yang bertugas sementara penulis mundar mandir di tempat menunggu. Selain penulis, dua orang lagi suami tiba menemankan isteri masing-masing untuk bersalin. Setelah hampir satu jam menunggu, penulis tidak dapat bersabar lagi dan terus masuk untuk mengetahui khabar isteri. Seorang doktor memaklumkan pembedahan akan dibuat pada hari itu juga dan penulis diminta menyelesaikan beberapa urusan berkaitan tempahan wad dan bayaran. Penulis berpeluang menemui isteri dan kami sama-sama berada di dalam keadaan berdebar-debar, tidak sabar tetapi takut, kerana ini merupakan satu detik yang amat dinantikan setelah tiga tahun mendirikan rumah tangga. Hanya doa yang mampu penulis iringkan kepada isteri memandangkan suami tidak dibenarkan berada di dewan bedah.
Pada pukul 3.40 petang, seorang jururawat keluar daripada dewan bedah, tersenyum sambil memandang penulis, ”awak Zulnasri?” ”Ya, saya..” Beliau menghulurkan kepada penulis seorang bayi yang amat putih bersih, dengan mata sedikit terbuka dan kelihatan amat comel. Tiada sebarang kata-kata yang mampu penulis ungkapkan selain syukur, dan syukur serta terima kasih kepada jururawat tersebut. Perasaan pada ketika itu agak sebak, tetapi penulis gagahkan jua untuk azankan bayi dan iqamat. Jururawat yang memerhati terus terseyum sebelum bertanya, ”Awak tak tengok dulu ke jantina budak tu?” Penulis sedikit kaget, dan terfikir ya tak ya pulak, kenapa tak tengok dulu, terus azan pula.. Biasalah, sebelum ini tak pernah tidak keruan macam ni. Bila dilihat, memang anak lelaki.. sebagaimana yang penulis rasakan sebelum ini. Alhamdulillah..
Penulis berpeluang bertemu dengan isteri pada pukul 6.00 petang. Setelah menyelesaikan beberapa urusan pakaian dan sebagainya, penulis terpaksa pulang ke rumah kerana masa melawat telah tamat. Esok hari, penulis bersama ibu mertua dan adik ipar menemani isteri bermula seawal 12.30 tengah hari sehinggalah waktu melawat tamat pada pukul 7.00 malam. Penulis agak kesal juga tidak dibenarkan menemani isteri sedangkan wad kelas 1 hanya seorang sahaja pesakit untuk satu bilik. Apa salahnya kalau suami ada bersama, paling tidak boleh sama-sama berkongsi cerita dan mengurangkan tekanan isteri yang terpaksa bersorangan menyesuaikan diri sebagai ibu baru. Mungkin kelahiran akan datang tidak lagi di hospital Kajang, tetapi sama ada hospital Putrajaya atau hospital swasta Islam, insya Allah. Isteri dibenarkan keluar wad pada hari ketiga apabila doktor mengesahkan ibu dan bayi sihat, dan kami pulang ke kampung isteri di Seremban, NS untuk berpantang.
Dugaan datang pada hari ketiga dan keempat apabila isteri mengalami masalah kekurangan susu sehingga menyebabkan bayi enggan menyusu dan banyak menangis. Ketika malam ketiga, Rushdan meraung-raung kerana lapar tetapi enggan menyusu kerana susu tidak keluar. Walaupun dipam, jumlahnya amat sedikit dan tidak berpadanan. kami agak tertekan memikirkan kemungkinan Rushdan sakit kerana kekurangan air dan susu. Pada masa itu, tiada susu formula di rumah, hari sudah lewat malam dan kami agak penat kekurangan tidur. Akhirnya, penulis mendapat idea untuk memberikan Rushdan air zam-zam yang kebetulan ada di rumah. Kerisauan tetap ada kerana bimbang sakit perut atau muntah, tetapi alhamdulillah, tidak ada apa-apa, sekurang-kurangnya hilang dahaga Rushdan walaupun masih memerlukan zat susu yang lain.
Esoknya penulis membelikan susu formula sebagai backup, tetapi nampaknya selera Rushdan terhadap susu tersebut mengatasi keinginannya untuk menyusu badan. Setelah tiga hari menggunakan susu tersebut, akhirnya penulis dan isteri mengambil keputusan memaksa Rushdan untuk menyusu badan dan tidak akan sama sekali memberikan susu formula lagi, sekurang-kurangnya dalam dua-tiga bulan ini. Langkah ini terpaksa diambil kerana bimbang susu badan isteri akan berkurangan apabila demand daripada bayi tidak ada. Lagipun, zat daripada susu ibu tidak mungkin dapat diganti oleh mana-mana susu formula di dalam dunia ini. Keputusan ini menimbulkan tentangan hebat daripada budak kecil yang nakal ini, macam memahami apa yang ibubapanya cuba buat. Rushdan kelihatan menimbulkan tekanan terhadap ibunya dengan menyusu sekerap 5-15 minit sekali, mungkin dengan harapan ibu akan mengalah dan kembali memberikannya susu botol yang diidam-idamkan..Alhamdulillah, isteri dengan sokongan penulis menguatkan semangat dan melayani karenahnya dengan sabar. Lama-kelamaan, ingatannya terhadap susu botol yang dahulunya amat disukai mula pudar, dan ketika ini, Rushdan semakin selesa menyusu dengan ibunya secara normal, dalam 1-2 jam sekali. Tempoh penyusuan juga semakin lama semakin stabil kepada 15-20 minit berbanding 3-5 minit pada awal-awal penyusuan dahulu.
Sekarang ini penulis terpaksa masuk kerja semula, tetapi Alhamdulillah, beberapa perkara seperti penyusuan, pemantauan klinik, tali pusat bayi dan pemakanan ibu telah di stabilkan. Setelah berfikir, penulis dapat mengambil beberapa iktibar seperti berikut:
1. Pastikan hospital yang dipilih membenarkan suami/penjaga untuk menemani isteri semasa dalam wad (kelas 1)
2. Pastikan isteri tidak berada di dalam tekanan atau berseorangan
3. Pastikan bayi menyusu badan sahaja, walaupun kerap atau dia tak mahu, tidak apa. Paksa dia dan jangan beralah, kadang-kadang budak ni macam pandai juga, nak susu yang sedap dan berperisa..
4. Tingkatkan amal ibadat (suami) dan mohon pertolongan daripada Allah untuk memudahkan urusan berkaitan kelahiran dan penjagaan selepas bersalin.
Rabbana Hab Lana Min Azwajina Wa Zurriyyatina Qurrata A'yun, Waj'alna lilmutaqina imama..
Wallahua’lam
Jumaat, September 11, 2009
Toleransi beragama – Isu Penentangan Pengalihan Rumah Ibadat; Ruang Dakwah yang Disempitkan
“Dan serulah (manusia) ke Jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan, dan pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka secara paling baik”
Surah An-Nahl – ayat 125
Dakwah merupakan kewajipan orang Islam. Tujuan utama dakwah adalah untuk melembutkan hati golongan non-muslim untuk mendekati dan menghayati ajaran Islam. Tetapi untuk menjadikan mereka muslim bukanlah tujuan utama, kerana kita yakin dan percaya hidayah itu hak mutlak Allah, dan kita sebagai hambaNya hanya melaksanakan suruhannya iaitu mengajak kepada kebaikan, dan mencegah daripada kemungkaran. Berapa ramai non-muslim yang mengetahui konsep dan ajaran Islam secara akademik dan berfakta seperti para professor pengajian orientalism di universiti-universiti barat, tetapi minda mereka menolak hakikat dan cuba mencari jarum-jarum kelemahan, semata-mata untuk menunjukkan Islam sebagai salah satu agama di samping agama-agama lain. Sekiranya ada non-muslim memeluk Islam kerana dakwah kita, itu adalah ketentuan dan hidayah daripada Allah semata-mata, manakala usaha kita akan diberkati dan diberikan pahala kerana melaksanakan dakwah,dan bukannya penyebab utama kepada keislaman mereka.
Apabila timbulnya isu penduduk di kawasan majoriti Islam yang menentang pembinaan rumah ibadat golongan bukan Islam, penulis cuba merungkai isu ini dari kacamata dakwah, bukannya politik.
Apa yang penulisSelasa, Mei 26, 2009
Dakwah : Ke mana hala tuju 'ustaz' ?
Kisah seorang ustaz ‘Rock’ yang diminati sejak dahulu sehingga sekarang amat meresahkan hati para peminat-peminatnya yang cuba mempertahankan imej keislaman beliau. Pengedaran gambar beliau di internet bersama-sama seorang rakan artis lain dan individu-invdividu yang tidak berpakaian sopan tambah mengharu birukan keadaan. Agak malang buat ustaz ini, yang telah mendedahkan diri beliau kepada fitnah atas nama dakwah mengikut kefahamannya sendiri. bahkan respon daripada beliau yang lebih ‘tidak mejawab persoalan’ tetapi cuba ‘menyerahkan kebenarannya kepada Allah’ merupakan satu respon yang dikhuatiri tidak jujur dan lebih bertujuan mengharapkan orang ramai akan mendiamkan diri.
Dakwah merupakan kewajipan umat Islam, tetapi setiap jalan dakwah ada hadnya. Sama seperti makan, minum, berpakaian, semua ada hadnya yang ditetapkan oleh Allah. Makan perlu berpada, tidak terlalu kenyang sehingga memudaratkan. Berpakaian biarlah berpada dan menutup aurat, tidak terlalu tebal sehingga kepanasan, dan tidak terlalu nipis seperti tidak berpakaian. Bagi muslim yang memutuskan untuk berdakwah melalui industri hiburan, mereka perlu lebih berhati-hati dan menjaga diri untuk mengelakkan fitnah. Amat menyedihkan, kebanyakan pendakwah hiburan ternyata hanyut dengan arus glamour dan khayalan, wanita cantik dan pergaulan bebas, yang akhirnya menjejaskan imej mereka sendiri. Sedangkan Allah telah berfirman : ‘Janganlah engkau mencampakkan dirimu ke arah kebinasaan’, Al Baqarah: 195.
Pendakwah hiburan yang terlalai ini seolah dengan sengaja mencampakkan diri mereka ke arah kebinasaan; membinasakan imej mereka, jatidiri dan keluarga mereka jua. Kita tidak mengadili persoalan rumah tangga mereka, tetapi jauh dilubuk hati, kita tetap akan mengadili tanpa sedar, dan tidak daapt menahan diri kita daripada menimbulkan perasaan berpihak kepsda mana-mana inidivdu yang terlibat apabila ia disensasikan.
Pada kefahaman penulis, semua bidang ada jalan dakwah masing-masing, dan semua muslim yang berjaya membawa kebaikan pada bidang yang dia ceburi adalah orang yang berjaya dalam dakwahnya. (dakwah bil hal).
(i) Seorang guru adalah pendakwah, dan kejayaannya dinilai pada anak-anak muridnya yang berjaya dalam akademik serta akhlaq.
(ii) Seorang posmen adalah pendakwah, dan kejayaan dakwahnya adalah penyerlahan amanah dirinya yang menyampaikan surat-surat yang dihantar tepat kepada penerima pada masa yang sesuai.
(iii) Seorang penjual kuoey teow adalah pendakwah yang berjaya apabila berniaga dengan jujur dan menjual makanan yang bersih lagi halal sahaja kepada pelanggannya.
(iv) Seorang pegawai adalah pendakwah yang berjaya apabila mengelakkan semua rasuah dan salahguna kuasa sedangkan ia mampu melakukannya.
(v) Seorang ahli politik adalah pendakwah yang berjaya apabila menampilkan imej yang jujur, tawadhuk dan menjadikan dirinya sebagai contoh dalam amar maaruf nahyu munkar.
Ahad, Mei 24, 2009
Hancurlah LTTE !! hancur! Hancur!
Peristiwa pembunuhan seramai 147 jemaah sebuah masjid di Batticaloa pada Ogos 1990 dan genosid terhadap beratus-ratus orang awam Islam enam hari kemudian merupakan bukti jelas kebencian puak LTTE terhadap orang Islam. Untuk lebih lanjut, boleh rujuk wikipedia atas tajuk LTTE.
Apa alasan mereka? Orang Islam menyokong Kerajaan Sri Lanka? Perlukah mereka dibunuh ketika sedang beribadah? Sungguh saya merasa terharu bercampur benci dengan keberadaan puak-puak penyokong LTTE di Batu Caves, seolah-olah mereka ini warga LTTE dan bukannya warga Malaysia. Adakah mereka ini buta tuli, mata hati dan tidak sedar mereka berada di mana? Ini MALAYSIA, sebuah negara Islam, mempunyai hubungan diplomatik dengan negara India dan Sri Lanka. Kalau mereka ingin keluar daripada negara ini, SILAKAN. Lucutkan kewarganegaraan dan sila keluar. Kita tidak rugi satu sen pun dengan kepergian mereka. Apatah lagi dengan kesetiaan yang masih boleh dipersoalkan. Dan sekiranya Hindraf menyokong LTTE, saya berharap mana-mana parti politik yang masih bersimpati dengan pertubuhan ini agar menilai semula pendirian mereka.
Kadang-kadang kita merasa tidak adil, kenapa di dalam undang-undang jihad, muslim tidak dibenarkan membunuh orang awam, merosakkan harta benda dan tanaman? sedangkan golongan non-muslim bebas membunuh, menghancurkan dan merosakkan. Akhirnya, orang Islam dilihat terlalu berlembut dengan musuh, sedang musuh sedaya upaya menghancurkan mereka. Tidak mengapa, kerana kita ada Allah, dan kita percaya hari pembalasan, yang mana golongan zalim ini akan menerima pembalasan yang setimpal atas kejahatan mereka, sedangkan kita akan dirahmati dan dimasukkan ke syurga. Amin.
Khamis, April 30, 2009
Aqidah Islam; Siapakan yang betul betul 'benar'?
“Kamu totok mazhab! Sempit!”
“Aqidah kamu bercelaru, ilmu kalam dah menyesatkan kamu!”
“Kamu salah! Masuk neraka!”
“Tak ikut kami kamu sesat dan jahil!”
“Ini bukti kamu sesat…Syeikh ini kata ini..ini..”
Kadang-kadang saya merasa hairan, apabila menelusuri laman-laman sesawang di alam siber, terlalu ramai orang sedang ‘berdebat’ di dalamnya (tanpa berhadapan) dengan keberanian yang amat luar biasa. Menggunakan kata-kata yang keras, mengancam dan penuh yakin. hujjah-hujjah yang digemburkan penuh dengan kekuatan yang seolah-olah maksum daripada kesilapan. Manakala lawannya pula menangkis dengan penuh perkasa, berhujjah seolah-olah Al-Quran dan Hadith ada di dalam minda, tiada yang salah melainkan benar belaka. Mengancam dan menuduh seolah-olah lawan masing-masing bukannya Islam, tetapi seorang manusia yang sedang sesat di dalam kekafiran. Menggunakan nama-nama samaran yang hebat, seolah-olah diri seorang pejuang Islam yang berani dan megah mempertahankan Agama Allah yang suci. Satu blog menyatakan hitam, manakala satu lagi bermati-matian mengatakan putih. Disana seolah-olah tiada jalan pertemuan, mahupun simpang yang kecil yang boleh menemukan keduanya bagi mencari secebis persamaan, disebalik ‘gergasi’ perbezaan yang nyata.
Anehnya kebanyakan yang diperdebatkan melibatkan aqidah, seolah-olah begitu mudah aqidah Islam ini terlucut daripada jiwa pemakainya. Hanya dengan tidak membenarkan satu pihak, otomatik menjadi non muslim. Manakala sebelah pihak lagi menjadi bukan Islam pada pandangan pihak lawannya. Akhirnya, kedua-dua pihak bukan lagi Islam, menjadikan jumlah manusia yang diiktiraf sebagai muslim semakin berkurangan hari demi hari; ditakfirkan di dalam internet semudah menekan kekunci ‘num lock’ atau mencabut plug elektrik komputer…Kadang-kadang saya rimas, dan membayangkan kalaulah saya tidak belajar agama dahulu, mungkin saya akan menjadi kurang siuman memikirkan yang diri ini sudah sesat, terkeluar daripada Islam, walau ke manapun saya berpihak! Itu belum masuk bab politik, fiqh, muamalat..
Adakah tiada titik pertemuan? Ataupun setitik persamaan? Memang mudah dan selesa berkata-kata di dalam blog, tiada orang yang boleh menghalang, dan sebarang komen boleh didelete. Tetapi apabila ia melibatkan agama Allah, bertanggungjawab dan berhati-hatilah. Janganlah kita terlalu berani berfatwa dan akhirnya mengkafirkan saudara-saudara seislam yang lain.
Rukun Iman : percaya kepada Allah, malaikat, kitab, rasul, hari qiamat, qadha dan qadar.
Rukun Islam: Mengucap dua kalimat syahadah, solat lima waktu, berpuasa di Ramadhan, menunaikan zakat, menunaikan fardhu haji.
Apapun perbezaannya, janganlah kedua-dua rukun ini kita berbeza. Insya Allah.
Wallahua’lam….
Isnin, April 27, 2009
Ya Allah, Selamatkan kami...
Doa tersebut adalah bacaan kita untuk satu perjalanan dengan sebuah kenderaan, yang kita harapkan daripadanya keselamatan, keberkatan dan perlindungan sepanjang perjalanan. Selama penulis berkelana di jalanan dengan sebuah Proton Saga yang dibeli pada Jun 2005, tidak terkira berapa banyak kali doa tersebut dibaca. Apa yang pasti, ianya telah menjadi satu tabiat, sebaik sahaja membuka pintu, Bismillah pasti terbisik dengan automatik, manakala doa di atas akan diungkapkan setelah penulis menutup pintu kereta dengan harapan mendapat keselamatan daripada bencana dan kemalangan.
Tetapi, pada Mac 2009, penulis ditimpa juga kemalangan. Tidak teruk, dan tiada kecederaan, tetapi kereta terpaksa masuk bengkel selama satu bulan. Sesetengah sahabat berkata yakin, “kau mesti tak baca doa ni, kalau tak mesti tak eksiden”, Penulis agak terdiam, dan berfikir, tak mungkin doa tidak dibaca. Minda sudah disetkan secara automatik untuk baca doa apabila masuk kereta..
Adakah doa semestinya menyelamatkan kita daripada semua bencana?
Adakah orang yang tidak membaca doa akan ditimpa bencana?
Apakah fungsi doa itu sebenarnya?
Kepada sahabat yang tadi, penulis cuma berkata; “Alhamdulillah, aku baca doa. kalau aku tak baca tadi, mesti teruk punya eksiden, tah tah aku koma sebulan”
Jawapan tadi adalah atas kesedaran penulis, bahawa doa tidak semestinya melindungi kita daripada semua kesusahan, kerana Allah lebih mengetahui hikmah disebalik kesusahan yang menimpa. Mungkin ianya adalah ujian, dan ujian yang dihadapi dengan kemalangan kecil seperti yang menimpa penulis adalah satu rahmat, kerana mungkin penulis tidak mampu menghadapi dugaan yang lebih besar. Mungkin Allah menukarkan taqdir yang awal (bencana besar) kepada satu taqdir yang lain (bencana kecil) atas faktor doa, dan kita tidak tahu..kerana dalam pengajian aqidah, percaya kepada qadha dan qadar adalah satu rukun iman. dan qadha itu terbahagi dua; Qadha mubram (ketentuan yang tidak berubah seperti mati dan lahir) dan qadha mu’allaq (satu ketentuan yang boleh berubah dengan izin Allah).
Kita teruskan sahaja berdoa untuk apa saja. Insya Allah selamat dunia dan akhirat. Wallahua’lam.
Khamis, April 23, 2009
Berblog; Jangan blok minda anda!
1. Pengarang blog tidak pernah memaksa sesiapa untuk membaca blog mereka. Sekiranya rasa suka, teruskan membaca, sekiranya rasa meluat, sasarkan cursor kepada bahagian atas sebelah kanan, dan klik pada kotak pangkah. Tak perlu membebel dan merepek, nanti jatuh mengumpat, kan sia-sia pahala awak;
2. Seorang muslim digalakkan menyebarkan kebaikan terutamanya yang ada pada dirinya untuk dicontohi oleh orang lain. Contohnya, seseorang yang bersedekah, sekiranya dia menunjukkan sedekahnya pada orang lain, dan dicontohi pula, maka dapatlah pahala berganda. Begitu juga menonjolkan usaha diri sendiri untuk membolehkan orang lain mencontohi (seperti yang dipostkan oleh Ustaz Zaharuddin di blognya), dan menunjukkan skill yang kita ada untuk diajar kepada orang lain. Apapun, ia bergantung pada niat sebenar, dan niat bukanlah hak kita untuk mempersoalkannya;
3. Dalam Islam, tiada unsur generalization terhadap hukum sesuatu perkara. Segalanya perlu diperincikan supaya hukum yang diputuskan adalah khusus terhadap perkara tersebut. Contohnya, hukum haram menyanyi, adakah semua nyanyian haram? nasyid juga adalah satu unsur nyanyian, adakah ia haram? Memang ada individu yang mengharamkannya, tetapi biarlah ia jadi hukum peribadi beliau, bukannya hukum rasmi Islam. Jadi, janganlah menghukum secara total semua blog berunsur aktiviti peribadi adalah salah. yang penting, jangan berbogel dalam blog, jangan posting lucah dan jangan mengumpat/memfitnah.
Setelah perbahasan panjang lebar, nampaknya teman tersebut bersetuju. atas faktor gaya bahasa yang digunakan penulis tidaklah ganas, lemah lembut dan tidak emosional, maka ia membuka ruang kepada perbincangan yang harmoni. Alhamdulillah, walaupun tiada dalil-dalil hebat yang digunapakai, hanya hadis (Sesungguhnya segala amal itu bermula dengan niat..), kami berjaya mencapai satu kesimpulan; berbloglah wahai orang-orang Islam yang mampu, sesungguhnya jalan dakwah dan kebaikan itu ada pelbagai, dan blog adalah salah satu jalan dakwah paling mudah. Sebarkan kebaikan dan keharmonian, dan janganlah kita hanya memberikan ruang kepada para pendosa dan pelucah menguasai medan blog.
Wallahua’lam.
Selasa, Mac 03, 2009
Isu penggunaan kalimat ‘Allah’ untuk penganut agama selain Islam
Dalam konteks agama, sebenarnya penggunaan kalimat ini adalah amat meluas dan kompleks. Masyarakat yang berbahasa arab tidak kira apa agama, terutamanya penganut kristian arab atau yahudi arab sebenarnya telah menggunakan kalimah ini lama sebelum kemunculan Islam. Dalam bahasa ibrani pula, sesekali ia dirujuk sebagai Ilohim atau Yahweh. Asas hurufnya tetap sama, iaitu huruh alif, lam dan ha. Kalimah Ilah, yang diucapkan oleh masyarakat arab merupakan asas kalimat Allah, manakala kalimat Allah pula telah menjadi satu katanama yang khusus merujuk kepada Tuhan Yang Maha Kuasa. Sebahagian sarjana menterjemahkan kalimah Allah sebagai God atau Tuhan manakala sesetengah yang lain mengekalkan kalimat tersebut untuk merujuk kepada Tuhan dalam penterjemahan mereka.
Apabila Nabi Muhammad S.A.W. diutuskan, perkataan yang sama masih digunakan oleh masyakat jahiliyah bersekali dengan penganut Islam, bahkan persamaan ini dijadikan sebagai asas dakwah tauhid Islam kepada masyarakat jahiliyah. Al-Qur’an banyak menerangkan mengenai persamaan ini, dan penulis kekurangan masa menukilkan satu persatu, memadailah dengan kesimpulan bahawa Rasulullah S.A.W. sememangnya mengetahui dan mengiktiraf penggunaan kalimah Allah untuk menggambarkan Tuhan, walau digunakan oleh penganut agama Kristian atau yahudi.
Itu adalah secara umum, tetapi bila melihat kepada permasalahan di Malaysia, kita perlu mengkaji lebih dalam berkenaan perkataan ini dalam konteks kebudayaan dan warisan. Di Malaysia, penggunaan nama Allah telah dikhususkan oleh orang melayu merujuk kepada Tuhan sekalian Alam semenjak Islam mula berkembang. Bahkan pada masa ini, kebanyakan masyarakat cina di Malaysia juga menyebut ‘Tuhan Alah’ sekiranya ingin merujuk kepada tuhan masyarakat melayu. Oleh itu, perbahasan mengenai isu ini tidak wajar menjadi perbahasan akidah dan agama, sedangkan isu sebenarnya adalah berkaitan budaya dan warisan turun temurun. Apabila merujuk kepada isu sebenar, ianya adalah berkenaan percetakan perkataan Allah di dalam penerbitan agama Kristian untuk menggambarkan ‘tuhan’ atau ‘salah satu yang utama daripada tiga’. Isu ini lebih bersifat teknikal dan Kerajaan mempunyai autoriti sama ada untuk membenarkan atau mengharamkan berlandaskan bidang kuasa sedia ada.
Pada hemat penulis, situasi semasa masyarakat Islam dalam perkara akidah sebenarnya masih belum kukuh, ditambah lagi dengan kekeliruan pengajian tauhid yang lebih kepada untuk menjawab peperiksaan dan bukannya atas dasar kesedaran. Pelajar lebih ditekankan untuk menghafal secara burung kakak tua berkenaan Allah itu wujud, ada mustahil tiada, Qidam, sedia mustahil baharu dan seterusnya tanpa mengetahui intipati sebenar apa yang dihafal. Sekiranya guru yang mengajar tidak bersedia untuk menerangkan secara terperinci berkenaan ajaran Tauhid Sifat 20, adalah lebih selamat sekiranya ia tidak diajarkan kepada orang awam. Tujuan sebenar ajaran ini diperkenalkan oleh Abul Hasan Al-Asyari adalah sebagai menepis ilmu kalam sesat yang amat banyak pada masa beliau, dan segala perbahasan sifat-sifat tersebut ada dalil-dalilnya yang memerlukan komitmen guru untuk menerangkannya. Ia lebih bersifat pengukuh berbanding asas, yang mana asas sebenar ada terkandung di dalam kalimah La Ilaha Illallah itu sendiri, iaitu pengajaran Tauhid secara rububiyyah, uluhiyyah dan asma wassifat. Ianya ringkas dan mudah. Sekiranya asas tidak ada, bagaimana hendak mengukuhkan?
Oleh itu, memang wajar Kerajaan tidak membenarkan pada masa ini penggunaan nama Allah dalam penerbitan ajaran agama lain. Masyarakat pada masa ini agak rosak, dengan asas akidah yang kucar kacir dan sukar untuk berdepan hujah dengan pendakwah kristian yang bersedia, walaupun hakikatnya kehujahan mereka semata-mata untuk menutup kelemahan oknum satu tetapi tiga yang sukar diterima akal.
Ahad, Januari 04, 2009
Kasihan Palestin…
Kita tiada kekuatan untuk berhadapan dengan musuh-musuh mereka,
Kita tiada alatan untuk memberikan kata-kata sokongan dan semangat,
Yang mampu didengari oleh para pejuang mereka di sana,
Hanya yang ada kesedihan,
Keremukan hati mendengar dan melihat penderitaan mereka,
Diratah kejam tidak berperikemanusiaan oleh syaitan-syaitan manusia,
Daripada golongan Yahudi dan Nasara,
Yang melupai perjanjian mereka dengan Yang maha Esa,
Untuk damai sesama manusia,
Setelah dipukau bongkak diri dan kemegahan palsu,
Ketamakan menelan inci bumi yang asalnya sejahtera,
Dipengaruhi bangga diri kamilah keturunan nabi,
Dan rasukan helaian kitab yang ditulis kembali tangan-tangan durjana,
Para pendusta zionis dan misionaris sesat,
Yang berkepentingan duniawi melupai ukhrawi.
Semoga Allah menunjukkan kebenaran,
Setelah dunia berada diputaran roda kejatuhan Islam,
Gemilang lamanya berabad,
Surut bagaikan ombak setelah menghempas pantai,
Insya Allah akan datangnya kembali,
Seri Nur Ilahi melimpahi bumi,
Dengan pemimpin-pemimpin bertaqwa,
Beriman dengan kebenaran Agama yang Suci,
Menghancurkan kepalsuan dan kebatilan,
Dengan kekuatan yang dijanjikan.
Ya Allah, Sesungguhnya kami serahkan segala leher musuh kami daripada golongan zionis dan sekutu-sekutu mereka kepada Engkau, dan kami berlindung dengan Engkau daripada kejahatan mereka.
Ya Allah, balikkanlah kembali tipudaya mereka kepada mereka, hancurkanlah kesatuan mereka, pecah belahkanlah kumpulan mereka, jadikanlah mereka berbalah-balahan sesama mereka dan goncangkanlah pendirian mereka.
Ya Allah, Hantarkanlah anjing-anjing Engkau kepada mereka. Wahai Tuhan yang Maha Gagah, Wahai Tuhan yang Maha Perkasa, Wahai Tuhan yang Memiliki Ketinggian dan Kemulian.
Ya Allah, Tuhan yang Menurunkan Kitab (Al-Qur’an), Ya Allah, Tuhan yang Menggerakkkan Awan, Ya Allah, Wahai Tuhan yang Menghancurkan tentera tentera bersekutu (Yahudi Zionis, Amerika dan negara-negara yang bersekutu dengan mereka), hancurkanlah mereka dan bantulah kami mengalahkan mereka…
Amin…Ya Rabbal ‘Alamin